GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kes positif harian Covid-19 negara terus mencatatkan penurunan apabila 7,739 kes direkodkan semalam berbanding 8,112 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan 4,333,557 kes kumulatif dijangkiti virus berkenaan.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 7,716 kes membabitkan penularan tempatan manakala 23 kes import lagi mendapat jangkitan dari luar negara.

"Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 4,354 kes atau 56.26 peratus adalah pesakit kategori satu diikuti 3,318 kes (42.87 peratus) kategori dua, 34 kes (0.44 peratus) kategori tiga, 14 (0.18 peratus) kategori empat dan 19 kes (0.25 peratus) kategori lima.

"Daripada kes Covid-19 kategori tiga hingga lima itu, 24 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 16 kes menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak, 27 kes menerima dos penggalak, 36 kes berumur 60 tahun dan ke atas, 42 kes mempunyai komorbid serta satu kes ibu hamil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dua negeri mencatatkan pengisian katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) lebih 50 peratus iaitu Putrajaya (100 peratus) dan Selangor (52 peratus).

"Putrajaya juga mencatatkan peratusan pengisian katil bukan ICU lebih 50 peratus iaitu 64 peratus.

"Sementara itu, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 102 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 12 peratus," katanya.

Katanya, jumlah kluster baharu dikenal pasti semalam ialah dua kluster dengan 126 kluster masih aktif sekali gus menjadikan 6,952 keseluruhan kluster setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 11:05 AM