GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jumlah kes harian Covid-19 semalam mencatatkan penurunan kepada 22,341 kes berbanding 24,241 kes yang dilaporkan kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 21,817 kes membabitkan penularan tempatan dengan 524 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.

"Sebanyak 10,181 kes (45.57 peratus) membabitkan kategori satu manakala kategori dua pula ialah 12,007 kes (53.75 peratus) serta kategori tiga ialah 58 kes (0.26 peratus) diikuti kategori empat dan lima masing-masing 45 kes (0.20 peratus dan 50 kes (0.22 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan 153 kes kategori tiga hingga lima, sebanyak 48 kes (31.37 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi,61 kes (39.87 peratus) menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak, 44 kes (28.76 peratus) menerima dos penggalak.

"Sebanyak 96 kes (62.75 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas serta 71 kes (46.41 peratus) mempunyai komorbid.

"Sebanyak 390 Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 160 kes disahkan Covid-19 serta230 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan selain kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 219 kes," katanya.

Katanya, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang dijangkiti virus berkenaan mencecah 3,974,019 kes.

"Selain itu, sebanyak 33,347 kes dilaporkan sembuh menjadikan 3,656,415 kes kumulatif atau 92 peratus yang pulih setakat ini," katanya.

Noor Hisham berkata, sembilan negeri menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal atau ICU melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing 67 peratus, Perlis (64 peratus), Kelantan (63 peratus), Johor (59 peratus), Selangor (58 peratus), Sarawak (53 peratus) serta Perak dan Pulau Pinang (51 peratus).

"Katil bukan ICU pula membabitkan 11 negeri iaitu Selangor (91 peratus), Putrajaya (83 peratus), Kuala Lumpur (77 peratus), Terengganu (76 peratus), Perak (71 peratus), Perlis (69 peratus), Kelantan (59 peratus), Melaka (58 peratus), Negeri Sembilan (55 peratus), Johor (52 peratus) dan Sarawak (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian katil kurang dari 50 peratus

"Pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 217 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 25 peratus," katanya.

Dalam pada itu katanya, terdapat enam kluster baharu dikesan dan 316 kluster masih aktif sekali gus menjadikan kumulatif 6,911 kluster dan 6,595kluster lagi diisytiharkan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 11:17 AM