GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan 20,923 kes baharu Covid-19 semalam, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif individu dijangkiti virus itu 4,122,004 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 20,695 membabitkan penularan tempatan manakala 228 kes yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Paling tinggi kategori yang dikesan semalam adalah kategori dua iaitu sebanyak 13,066 kes atau 62.16 peratus diikuti kategori satu (7,802), kategori lima (45), kategori tiga (44 kes) serta kategori empat (26).

"Daripada 115 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 33 kes (28.70 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 48 kes (41.74 peratus) menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

"Selain itu, 73 kes lagi (63.68 peratus) membabitkan berumur 60 tahun dan ke atas, 63 kes (54.78 peratus mempunyai komorbid dan satu kes (0.87 peratus) adalah kes ibu mengandung," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 302 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 142 kes disahkan Covid-19 serta 149 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 198 kes iaitu 94 kes disahkan Covid-19 serta 104 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, lima negeri menunjukkan peratusan pengisian katil di unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus.

"Ia membabitkan Kuala Lumpur (70 peratus), Putrajaya (67 peratus), Johor (59 peratus), Pulau Pinang (57 peratus) dan Selangor (53 peratus).

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 198 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 22 peratus," katanya.

Dalam pada itu katanya, jumlah kes sembuh ialah 25,467 kes sekali gus menjadikan 3,844,766 kes atau 93.3 peratus kes kumulatif yang disahkan sembuh daripada virus itu.

"Terdapat tiga kluster baharu dikesan dan 232 kluster masih aktif menjadikan jumlah keseluruhan kluster mencecah 6,926 serta 6,694 kluster tamat," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 11:29 AM