GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sebanyak 6,968 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam sekali gus menjadikan kumulatif kes berjumlah 4,409,202 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 6,936 kes membabitkan penularan tempatan manakala 32 kes lagi mendapat jangkitan dari luar negara.

"Daripada jumlah kes harian dilaporkan semalam, kategori dua mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 4,083 kes diikuti kategori satu (2,854 kes), kategori lima (12 kes), kategori tiga (11 kes) dan kategori empat (lapan kes).

"Daripada 31 kes Covid-19 kategori tiga hingga lima, sebanyak empat kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 15 kes menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak, 12 kesmenerima dos penggalak, 15 kes berumur 60 tahun dan ke atas serta 19 kes lagi mempunyai komorbid," katanya.

Katanya, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 97 kes iaitu 58 kes disahkan Covid-19 manakala 39 kes disyaki, kemungkinan atau kes dalam siasatan.

"Sebanyak 63 kes memerlukan bantuan pernafasan iaitu 38 kes disahkan Covid-19 dan 25 kes disyaki, kemungkinan atau kes dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, daripada 243 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital 119 kes adalah kategori tiga hingga lima dan 124 kes lagi kategori satu dan dua.

Beliau berkata, tiada negeri menunjukkan penggunaan katil kes ktitikal atau ICU, bukan ICU dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) melebihi 50 peratus.

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 63 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator lapan peratus," katanya.

Menurutnya, empat kluster baharu dikesan menjadikan 106 kluster masih aktif serta 6,999 kumulatif kluster.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 11:12 AM