Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Hulu Selangor: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing hari meminta agar pengundi di Kuala Kubu Baharu untuk memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama satu penggal.

Menurutnya, penggal yang ada kini hanya berbaki empat tahun sahaja lagi dan turut mencadangkan bentuk hukuman yang boleh diberi kepada Sock Tao jika tidak memberi perkhidmatan yang baik selepas dipilih oleh pengundi.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini sudah berlalu satu tahun. (Jadi Pilihan Raya Kecil) ini tinggal empat tahun lagi. Beri dia (Sock Tao) peluang berkhidmat selama empat tahun.

"Kalau dia tidak beri perkhidmatan baik, tak mengapa. Penggal pilihan raya akan datang, masukkan dia dalam sungai sana, bagi buaya makan.

"(Tetapi) kalau dia beri perkhidmatan baik, kita bagi peluang dia terus berkhidmat di Kuala Kubu Baharu ini," selorohnya ketika berucap di sebuah institut memandu di sini, hari ini.

Dalam PRK Kuala Kubu Baharu kali ini, Sock Tao bakal ditentang oleh Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Mengulas lanjut, King Sing ketika berucap turut melihat di banyak kawasan di Kuala Kubu Baharu mempunyai peluang untuk dinaik taraf menjadi tempat pelancongan.

Bagaimanapun, katanya, semua rancangan untuk menjadikan tempat pelancongan itu perlulah mendapat kelulusan atau persetujuan daripada kerajaan negeri.

"Semua rancangan mestilah perlu mendapat kelulusan atau persetujuan daripada kerajaan negeri.

"Mana-mana tempat yang kita rasakan ada peluang menjadi tempat atau destinasi pelancongan, kita sedia untuk kemukakan (cadangan) kepada kerajaan negeri Selangor untuk pertimbangan dan kelulusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 2:32 PM