AARON dan Wooi Yik  bakal sertai tiga kejohanan selepas ini.
AARON dan Wooi Yik bakal sertai tiga kejohanan selepas ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiga kejohanan utama akan menjadi kayu pengukur kepada beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebelum menghadapi temasya Olimpik Paris yang akan bermula Julai ini.

Pasangan ranking keempat dunia itu dijangka beraksi di Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei diikuti Terbuka Singapura (28 Mei hingga 2 Jun) dan Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun) dan berharap dapat berdepan dengan jaguh handalan dunia.

Terbuka Indonesia dijangka menyajikan saingan sebenar kerana ia kejohanan bertaraf Super 1000.

Aaron mengakui dia bersama Wooi Yik perlu melakukan banyak perkara untuk mempertingkatkan prestasi mereka.

"Banyak lagi benda perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasi. Ada beberapa lagi kejohanan dan ia penting sebagai persiapan untuk ke Olimpik.

"Sangat penting untuk kami terus kekalkan prestasi di tahap terbaik kerana sebelum temasya bermula ada tempoh rehat yang panjang antara empat hingga enam minggu," katanya.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya mencipta kejutan apabila memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka sekali lagi dipertaruhkan untuk memperbaiki pencapaian berkenaan dan dilihat calon terbaik untuk menamatkan penantian emas di temasya Olimpik.

Ia berikutan prestasi Aaron-Wooi Yik yang membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada saingan Piala Thomas di Chengdu yang berakhir, Ahad lalu apabila berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang ketika aksi separuh akhir.

Pada aksi berkenaan, Aaron-Woo Yik menang dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-12, 21-17 sekali gus menamatkan badi kekalahan di tangan Wei Keng-Wang Chang selepas tewas dalam tiga pertemuan terakhir sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 2:29 PM