PUTRAJAYA 21 MARCH 2022. Petugas IKN membuat pemeriksaan sinar-X keatas pesakit kanser yang dijangkiti Covid-19 di wad Covid-19 Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA 21 MARCH 2022. Petugas IKN membuat pemeriksaan sinar-X keatas pesakit kanser yang dijangkiti Covid-19 di wad Covid-19 Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kes positif harian Covid-19 negara kembali mencatatkan peningkatan apabila 21,483 kes direkodkan, semalam, berbanding 17,828 kes kelmarin, sekali gus menjadikan 4,032,435 kes kumulatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 21,089 daripada kes baharu itu membabitkan kes tempatan manakala 394 kes import lagi mendapat jangkitan dari luar negara.

Katanya, sebanyak 10,455 kes atau 48.67 peratus membabitkan kategori satu manakala 10,862 kes (50.56 peratus) pula dari kategori dua.

"Sebanyak 57 kes (0.27 peratus) berada dalam kategori tiga diikuti 46 kes (0.21 peratus) dalam kategori empat dan 63 kes (0.29 peratus) membabitkan kategori lima.

"Daripada 166 kes membabitkan kategori tiga, empat dan lima, 51 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 64 kes pula sudah menerima dua dos vaksin, tetapi belum menerima dos penggalak dan 51 kes menerima dos penggalak.

"Sebanyak 91 kes berumur 60 tahun dan ke atas, 96 kes mempunyai komorbid dan dua kes membabitkan ibu mengandung," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, 32,561 kes sembuh dilaporkan semalam, menjadikan kes sembuh kumulatif sebanyak 3,745,229.

Beliau berkata, sebanyak 339 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 209 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurutnya, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 209 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 24 peratus.

"Tiga negeri menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal atau ICU lebih 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (70 peratus), Johor (62 Peratus) dan Selangor (60 peratus).

"Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 sebanyak 0.91 dengan Sarawak mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.01 diikuti Perak dengan 1.00.

"Empat kluster baharu direkodkan menjadikan 6,918 kluster secara keseluruhan dengan 284 kluster masih aktif dan 6,634 kluster ditamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 10:50 AM