ANTARA barang kes dirampas hasil serbuan dan penahanan tiga suspek disyaki terbabit kes samun premis kedai. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA barang kes dirampas hasil serbuan dan penahanan tiga suspek disyaki terbabit kes samun premis kedai. FOTO Ihsan PDRM.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tiga individu termasuk bekas polis ditahan selepas disyaki terbabit dalam tiga kes samun terhadap tiga premis kedai di daerah Melaka Tengah dengan bersenjatakan objek menyerupai pistol pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, penahanan suspek dibuat susulan tiga laporan kes samun berkawan diterima daripada pemilik kedai runcit, peralatan telekomunikasi dan kedai beg di kawasan Tambak Paya Harmoni, Krubong dan Telok Mas, membabitkan kerugian RM1,150 pada Isnin dan Selasa lalu.

Menurutnya, kumpulan dikenali 'Geng Bacin' itu diketuai pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) berusia, 36 tahun, bekas polis serta anak pesara polis masing-masing berusia 33 dan 38 tahun.

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan polis daripada Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di kawasan Tehel dan Jasin, bermula jam 3 petang hingga 7.30 malam Selasa lalu.

"Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah serta dadah dan ujian saringan awal air kencing turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Menerusi serbuan itu polis turut merampas barang kes termasuk satu objek menyerupai pistol, sebilah parang dan pisau, dua kereta, sebuah motosikal, empat unit telefon bimbit pelbagai jenama serta pakaian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zainol suspek menggunakan modus operandi dengan mengacukan objek berwarna hitam yang menyerupai sepucuk pistol sebelum menyamun wang hasil jualan dari laci kaunter jualan.

"Semua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 15 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 2:12 PM