GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sebanyak 12,105 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam sekali gus menjadikan jumlah kumulatif 4,268,486 kes jangkitan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan 43 kes yang mendapat jangkitan dari luar negara serta kes tempatan sebanyak 12,062 kes.

"Sebanyak 6,623 kes membabitkan kategori satu diikuti 5,387 kes (kategori dua), kategori tiga dan empat masing-masing 40 dan 17 kes serta kategori lima pula ialah 38 kes.

"Daripada 95 kes Covid-19 kategori tiga hingga lima, 28 kes (29.47 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi serta 30 kes (31.58 peratus) menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak.

"Sebanyak 37 kes (38.95 peratus) menerima dos penggalak, 51 kes (53.68 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas serta 57 kes (60 peratus) lagi mempunyai komorbid," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 221 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 106 kes disahkan Covid-19, 115 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan serta kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 122 kes (53 kes disahkan Covid-19, 69 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan).

"Sebanyak 21,029 kes sembuh dilaporkan menjadikan 4,083,183 kes kumulatif (95.4 peratus) pulih daripada virus itu setakat ini," katanya.

Katanya, Selangor mencatatkan peratusan pengisian katil kes kritikal atau ICU lebih 50 peratus.

"Putrajaya mencatatkan pengisian katil bukan ICU sebanyak 61 peratus manakala Selangor pula 51 peratus.

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula semakin menurun kepada 122 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 14 peratus.

"Sebanyak 564 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 221 kes (39.2 peratus) adalah kategori tiga hingga lima dan 343 kes (60.8 peratus) adalah kategori satu dan dua," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 mengikut kes seharian sebanyak 0.86.

"Tiada kluster baharu direkodkan kelmarin menjadikan 6,941 jumlah keseluruhan kluster serta 151 kluster masih aktif dan 6,790 diisytiharkan tamat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 11:09 AM