Norhayati Nordin


KEHADIRAN bakat baharu dalam industri hiburan tanah air cukup ramai dan meriah. Sama ada di pentas nyanyian atau lakonan, pasti akan diperkenalkan 'bintang' baharu yang berpotensi.

Salah seorang bakat muda yang mencuba nasib menyerlah bakat dan membina nama di era penularan Covid-19 ini ialah Lia Aziz atau nama sebenarnya Nur Aliah Faizana Abd Aziz, 19.

Mesra disapa Lia, gadis manis ini mula aktif di persada seni pada tahun lalu dengan kemunculan single solo pertamanya, Kucu Kuca serta diikuti lagu duet, Pergilah Derita bersama penyanyi dan komposer, Asfan Shah.

Malah, sudah rezeki Lia juga apabila dua single nyanyiannya itu dipilih menjadi lagu tema (OST) drama iaitu Rindu Awak Separuh Nyawa di Astro dan Cukup Derita Itu di TV3.

Baru-baru ini Lia terpilih menyertai program realiti popular, Big Stage 2022.

Bagaimanapun, perjalanan Lia di pentas Big Stage 2022 tidak lama apabila tersingkir pada minggu ketiga sekali gus menjadi peserta kedua meninggalkan program itu selepas usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli.

Mengulas perasaannya yang terpaksa pulang awal, Lia berkata, dia tidak kesal dan kecewa dengan kegagalan itu. Dia boleh menerima kenyataan rezekinya sampai di situ saja.

"Nak kata saya kesal, tidak. Nak kata kecewa pula, tidak terlalu kecewa tetapi hanya ada rasa sedih sebab saya tidak dapat tunjukkan lebih lagi bakat diri. Tapi, itulah saya dah cuba yang terbaik.

TIADA rezeki, Lia akur jadi peserta kedua tersingkir Big Stage 2022.
TIADA rezeki, Lia akur jadi peserta kedua tersingkir Big Stage 2022.

"Setiap minggu saya dah buat persembahan terbaik. Namun, rezeki saya hanya sampai di situ saja. Apapun, saya sentiasa percaya dengan rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah. Malah, tersingkir di Big Stage 2022 itu bukan satu perkara yang menunjukkan saya gagal ataupun karier sudah berakhir," katanya.

Menurut Lia yang bakat nyanyiannya ditemui Rusa Music menerusi Instagram, dia percaya perjalanannya masih panjang dalam karier seni ini.

"Saya pun sekarang masih belajar dalam bidang muzik di universiti dan harapnya ia dapat membantu mengukuhkan lagi nama serta bakat saya pada masa akan datang.

"Penyertaan di Big Stage 2022 itu cukup membawa pengalaman manis iaitu saya berpeluang belajar koreografi bersama Cikgu Hanafi dan penari-penari lain.

LAGU duet, Lia berganding pula dengan Khai Bahar.
LAGU duet, Lia berganding pula dengan Khai Bahar.

"Sejujurnya saya akui, sebelum itu memang kurang berminat dalam tarian. Saya kurang menari kerana tiada minat dan pada masa sama juga, kurang keyakinan diri," katanya.

Menurut Lia, ketika di Big Stage 2022 dia dapat juga mencabar dirinya menari dan keluar dari zon selesa. Katanya, kini latihan menari adalah perkara yang sangat dirindui di Big Stage kerana gembira melakukannya.

Ditanya mengenai perkara utama dipelajarinya dalam program hiburan popular itu, Lia berkata, dia kini semakin sedar bahawa jika hendak berjaya kena yakin pada diri sendiri.

"Sebenarnya, saya ini seorang yang kurang keyakinan diri. Apatah lagi, saya pun tak pernah menyertai pertandingan nyanyian. Kiranya, Big Stage 2022 itu adalah pentas pertama saya beranikan diri untuk cuba menyanyi 'live' di hadapan ramai penonton.

LIA AZIZ mula dikenali dengan lagu Kucu Kuca.
LIA AZIZ mula dikenali dengan lagu Kucu Kuca.

"Pada mulanya, saya tak nafikan memang takut dan bimbang kerana tiada pengalaman. Tapi, saya kena kuat lawan perasaan itu dan beranikan diri mencuba. Sekarang, alhamdulillah saya sudah semakin yakin untuk membuat persembahan di pentas,"

katanya.

Menurut Lia, kini apa saja yang dilakukan dalam kehidupan terutama ketika mengejar impian mestilah yakin dengan diri sendiri dan jangan sesekali takut untuk mencuba.

Berbicara mengenai lagu baharunya yang akan menemui pendengar, Lia berkata, tidak lama lagi dia akan melancarkan lagu duet bersama Khai Bahar untuk OST drama 7 Hari Mencintaimu 3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 6:00 AM