Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Malaysia sekali lagi mencatat kes harian Covid-19 tertinggi apabila sebanyak 33,406 kes baharu direkodkan semalam berbanding 33,209 kes, kelmarin.

Angka itu menjadikan keseluruhan jumlah jangkitan yang direkodkan sejak wabak Covid-19 melanda negara pada Januari 2020 meningkat kepada 3,595,172 kes.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini di laman sesawang CovidNow, hari ini menunjukkan daripada keseluruhan kes harian baharu semalam, 33,064 adalah kes penularan tempatan dan 342 adalah kes import.

Jumlah kes aktif meningkat kepada 311,206 kes termasuk 6,196 kes aktif baharu dicatatkan semalam, dengan 298,532 pesakit atau 95.9 peratus menjalankan kuarantin di rumah, manakala 3,588 pesakit berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Data itu turut menunjukkan seramai 8,715 pesakit kini mendapat rawatan di hospital dan daripada jumlah itu, 371 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 226 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, sebanyak 26,352 kes Covid-19 sembuh dicatatkan semalam, manakala sebanyak 67 kematian baharu dicatatkan termasuk 23 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Bagi penggunaan katil ICU di seluruh negara, data CovidNow menunjukkan jumlah penggunaan keseluruhan melebihi 60 peratus dengan Kuala Lumpur mencatat penggunaan tertinggi iaitu 73.1 peratus (17 kes aktif), diikuti Johor (72.9 peratus dengan 35 kes aktif).

Selain itu, Kelantan mencatat penggunaan 71.5 peratus dengan 30 kes aktif, manakala Putrajaya mencatat penggunaan 70 peratus dengan lima kes aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 9:24 AM