GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kes baharu Covid-19 kembali di bawah 3,000 kes dengan 2,464 kes dilaporkan semalam, ia menjadikan sehingga kini angka jangkitan akibat penularan berkenaan meningkat kepada 4,757,752 kes.

Menerusi data yang dikongsikan dalam laman sesawang Covidnow, kes baharu itu membabitkan 2,448 kes penularan tempatan, dengan 16 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Pertambahan kes berkenaan menjadikan sehingga kini masih terdapat 38,918 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Daripada jumlah yang dinyatakan itu, sebanyak 37,408 kes atau 96.1 peratus kini sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, sejumlah 3.6 peratus bersamaan 1,409 pesakit pula mendapatkan rawatan lanjut di hospital, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) (32) dan unit rawatan rapi (ICU) (69) dengan 33 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhannya, penggunaan ICU di seluruh negara kini mencecah 60.8 peratus dengan 18.5 peratus membabitkan pesakit Covid-19.

Setakat semalam, terdapat sembilan kes kematian dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan angka korban di negara ini meningkat kepada 36,145 kes.

Dalam pada itu, mengenai kes sembuh di negara ini sebanyak 4,427 kes dicatatkan, ia sekali gus menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan kini adalah 4,682,689 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 9:01 AM