BUAYA yang diselamatkan sebelum dilepaskan di sungai di Pulau Sulawesi. FOTO Reuters
BUAYA yang diselamatkan sebelum dilepaskan di sungai di Pulau Sulawesi. FOTO Reuters
Reuters

Palu: Seekor buaya di Sulawesi Tengah, Indonesia akhirnya bebas daripada tayar yang tersangkut selama enam tahun, baru-baru ini.

Ini selepas penduduk menangkap reptilia itu sebelum tayar yang tersangkut pada leher haiwan itu ditarik keluar.

Selepas proses itu selesai, haiwan itu kemudiannya dilepaskan di sungai di Pulau Sulawesi.

Buaya sepanjang kira-kira empat meter itu menimbulkan simpati dalam kalangan penduduk di Palu yang bimbang tayar yang tersangkut akhirnya mencekik reptilia apabila saiznya semakin besar.

Bagaimanapun, usaha untuk menangkap reptilia itu bagi memotong tayar berkenaan ternyata sukar.

Pada satu ketika, cubaan pemburu buaya Australia untuk menangkap haiwan itu juga menemui kegagalan.

"Saya menangkap buaya ini sendirian. Saya ada minta bantuan penduduk tapi mereka takut," kata penduduk tempatan, Tili, 35.

Dia menangkap haiwan itu menggunakan perangkap asas dengan tali diikat pada kayu balak dan menggunakan ayam serta itik hidup sebagai umpan.

Operasi menjejaki buaya itu dibuat selama tiga minggu, malah haiwan berkenaan dapat melepaskan diri dari perangkap sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, penantian Tili berhasil apabila buaya itu terjerat akhirnya.

"Ramai yang curiga dan beranggapan saya tidak serius untuk menangkap buaya berkenaan," katanya.

Dia juga sempat bergambar bersama buaya berkenaan selepas tayar terbabit berjaya ditarik keluar dari leher haiwan itu.

Pada 2020, media melaporkan pihak berkuasa wilayah berkenaan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berjaya menarik tayar terbabit dari leher haiwan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 6:30 AM