GAMBAR dirakam pada September 2016 menunjukkan tayar motosikal tersangkut di leher buaya itu di sungai Palu, Sulawesi Tengah. FOTO AFP
GAMBAR dirakam pada September 2016 menunjukkan tayar motosikal tersangkut di leher buaya itu di sungai Palu, Sulawesi Tengah. FOTO AFP
AFP

Palu, Indonesia: Pegawai perlindungan kini berusaha mengesan dan menyelamatkan seekor buaya air masin daripada mati tercekik selepas satu tayar motosikal tersangkut di lehernya sejak lebih setahun lalu.

Buaya sepanjang empat meter sering dilihat di sebatang sungai yang menyusuri Palu, Sulawesi Tengah.

Sejak tahun lalu, buaya itu menjadi tarikan penduduk yang menunggu kemunculannya untuk merakamkan gambar haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, rakaman video terbaru yang dirakam seorang penduduk menunjukkan reptilia itu sukar bernafas.

Pegawai bimbang tayar itu kini secara perlahan-lahan membunuh buaya itu.

Pihak berkuasa percaya, ada individu secara sengaja meletakkan tayar itu di leher buaya dalam cubaan membela haiwan ganas berkenaan.

“Pada tahun lalu, kami lihat masih ada ruang untuk leher buaya itu bergerak tetapi kami tidak akan menunggu hingga tayar itu menjerutnya.

“Kami akan selamatkan buaya itu,” kata ketua agensi pemuliharaan haiwan Palu, Haruna.

Ujarnya, agensi itu kekurangan peralatan untuk menyelamatkan buaya berkenaan dan cubaan mengesan haiwan itu setakat ini tidak berhasil.

Haruna berkata, pihaknya tidak mahu menggunakan ubat pelali sebaliknya mereka membina perangkap besi di lokasi yang cetek di sungai berkenaan.

“Kami sudah pasti mahu menyelamatkan buaya ini tetapi pada masa yang sama perlu memikirkan keselamatan anggota saya,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 4:24 AM