Penduduk membantu membuang tayar yang tersekat selama lima tahun pada buaya di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - FOTO AFP
Penduduk membantu membuang tayar yang tersekat selama lima tahun pada buaya di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - FOTO AFP
AFP

Palu, Indonesia: Seekor buaya liar yang tersekat dalam tayar selama lebih lima tahun akhirnya berjaya diselamatkan dan dilepaskan ke habitat asalnya.

Kakitangan hidupan liar sudah beberapa kali cuba membantu buaya air masin itu sejak 2016 selepas penduduk Palu menjumpainya terperangkap dalam tayar yang melilit bahagian lehernya.

Namun, ia akhirnya berjaya dibantu penduduk tempatan bernama Tili.

Tili, 34, seorang penjual burung, menggunakan umpan ayam dan tali untuk menangkap reptilia berkenaan serta dibantu penduduk tempatan untuk menarik buaya itu ke darat dan seterusnya membolehkannya memotong tayar berkenaan.

Katanya, ia mengambil masa tiga minggu sebagai persediaan

"Saya hanya mahu membantu. Saya benci melihat haiwan terseksa dan terperangkap seperti buaya itu," katanya.

Dua kali percubaannya gagal kerana tali yang digunakan tidak cukup kuat untuk menampung berat buaya itu, sebelum bertukar kepada tali nilon yang diguankan untuk menarik bot.

"Saya kepenatan ketika itu dan membiarkan yang lain menamatkan usaha menyelamat. Buaya itu ternyata sangat berat dan semua orang berpeluh serta keletihan," katanya.

Buaya berkenaan dilepaskan semua ke dalam air selepas diselamatkan.

Kakitangan hidupan liar berpendapat, seseorang telah memasukkan tayar ke leher buaya itu dengan tujuan untuk menangkapnya bagi dijadikan haiwan peliharaan namun, gagal.

Pada tahun 2020 kerajaan tempatan mengumumkan peraduan dengan tawaran ganjaran untuk individu yang berjaya membantu buaya itu namun, membatalkan peraduan itu selepas bimbang ia mendatangkan bahaya kepada peserta.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berjanji untuk memberikan Tili ganjaran kerana membantu buaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 6:53 PM