Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang mekanik rentung selepas kereta dipandunya terbakar dalam kejadian di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.05 malam, mangsa dikenali sebagai Mohd Azizi Jaafar, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas gagal keluar dari Perodua Alza dipandunya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Ab Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.09 malam sebelum 14 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, kenderaan dipandu mangsa sudah terbakar hampir 90 peratus dan sebuah Perodua Viva yang diparkir di tepi jalan turut terbakar.

Katanya, operasi memadam kebakaran segera dijalankan dan api berjaya dikawal jam 7.23 malam.

"Pemeriksaan lanjut menemukan tiga silinder kimpalan dan satu tabung gas oksigen di dalam Perodua Alza.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa yang menyedari keretanya terbakar segera memberhentikan kenderaannya di tepi jalan bagi menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap, namun gagal.

"Kita juga dimaklumkan berlaku letupan kecil ketika kejadian dan kita tidak menolak kemungkinan ada sumber kebakaran yang lain yang menyebabkan kebakaran itu selain daripada bahan yang ditemukan di dalam kenderaan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Md Hilman berkata, Perodua Viva yang diparkir di tepi jalan turut terbakar hampir 60 peratus.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 9:17 PM
MD Hilman (kiri) memeriksa kereta yang terbakar mengakibatkan mekanik rentung di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
MD Hilman (kiri) memeriksa kereta yang terbakar mengakibatkan mekanik rentung di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas, malam tadi. FOTO Ghazali Kori