KEADAAN Perodua Alza yang terbakar selepas terbabas di Bukit Kor. FOTO Ihsan Polis.
KEADAAN Perodua Alza yang terbakar selepas terbabas di Bukit Kor. FOTO Ihsan Polis.
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Anggota polis dan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mencari pemandu Perodua Alza yang 'hilang' selepas kereta dipandunya terbakar di Bukit Kor di sini hari ini.

Malah, pihak berkuasa terpaksa mencarinya sehingga ke kawasan cerun dalam keadaan gelap kerana bimbang kejadian buruk berlaku sebelum dimaklumkan lelaki terbabit pulang ke rumahnya di Kampung Rusila dengan menumpang orang awam yang melalui jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 2.20 pagi apabila lelaki berusia 37 itu dalam perjalanan dari Rusila ke Bukit Payong dengan memandu Perodua Alza.

Beliau berkata, kereta dipandunya dikatakan terbakar selepas melanggar besi penghadang jalan sebelum polis termasuk bomba ke lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, keadaan sedikit kelam kabut apabila kita tidak menemui mangsa sebelum segera mencarinya di kawasan berhampiran termasuk cerun.

"Selepas hampir 30 minit mencari, kita dimaklumkan mangsa pulang ke rumahnya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan mangsa tidak menemui barang terlarang dan setakat ini, mangsa belum membuat laporan mengenai kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marang Mohd Zafelee Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 2.39 pagi sebelum sebuah jentera serta satu kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, terdapat sebuah kereta sedang terbakar selepas dipercayai terbabas sebelum usaha memadam kebakaran dilakukan.

"Kita berjaya mengawal kebakaran pada 3.06 pagi manakala api padam sepenuhnya kira-kira jam 4 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 1:20 PM