FOTO ihsan PDRM
FOTO ihsan PDRM
Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kuala Krai: Seorang guru tahfiz maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan treler di Kilometer 105, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Sungai Sam di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa Afif Asyraf Yahya, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi saudaranya, Amiruddin Nawi, 29, dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun pemandu treler itu tidak mengalami kecederaan.

Mangsa dipercayai baru pulang dari Kuala Lumpur selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala FA.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, ketika kejadian si mati yang memandu kereta Perodua Viva dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Katanya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian keretanya hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dengan muatan kelapa sawit.

"Treler itu yang cuba mengelak bagaimanapun terjatuh ke dalam gaung di sebelah kiri jalan.

"Kemudian kereta jenis Perodua Alza melanggar belakang kereta Perodua Viva mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 12:25 PM