Wanita, 52, sempat menyelamatkan diri selepas kereta dipandu terbakar di  Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Wanita, 52, sempat menyelamatkan diri selepas kereta dipandu terbakar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Wanita nyaris maut apabila sempat keluar dari Perodua Myvi dipandunya yang hilang kawalan sebelum terbabas dan terbakar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pada 9.22 pagi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah Irdayu Ishak berkata, pasukan dari balai bomba berkenaan dengan kekuatan 11 orang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi didapati terdapat sebuah Perodua Myvi berada di bahu jalan sedang terbakar.

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya tujuh minit kemudian.

"Kemusnahan kebakaran dianggarkan 90 peratus sementara pemandu kereta wanita berusia 52 tahun memaklumkan kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum terbakar," katanya.

Irdayu berkata, mangsa berjaya keluar dari kenderaan terbabit dan memaklumkan kejadian berkenaan melalui talian kecemasan MERS999.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 3:20 PM