Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Jertih: Terpaksa bersesak di bawah satu bumbung lebih daripada dua keluarga bukan isu baharu di Kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian kerana situasi itu sudah membelenggu penduduk sejak lebih 10 tahun lalu.

Sebelum ini, mereka terutama generasi muda menyimpan impian untuk memiliki kediaman sendiri selepas pengumuman pembinaan rumah pangsa empat tingkat di pulau peranginan itu pada 2011.

Ia umpama memberi sinar kepada sebahagian besar penduduk dianggarkan lebih 1,000 orang yang ketika itu terpaksa tinggal berhimpit-himpit di dalam rumah milik generasi pertama.

Namun, impian itu tidak kesampaian apabila projek yang bermula pada 2013 terbengkalai kira-kira lima tahun kemudian dan tapak yang sepatutnya menjadi lokasi pembinaan juga terbiar sepi.

Kini, jumlah penduduk di pulau peranginan itu dianggarkan mencecah lebih 2,000 orang namun hanya terdapat 200 rumah bagi menampung jumlah penduduk.

Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat keluarga terpaksa tinggal sebumbung dalam keadaan sempit dan tidak selesa sehingga ada rumah didiami enam keluarga seramai 22 orang daripada tiga generasi.

Selain kekangan kewangan, kedudukan rumah yang hampir antara satu sama lain juga sedikit sebanyak mengehadkan mereka untuk membuat pengubahsuaian rumah.

Penduduk, Nik Nor Fatimah Ariffin, 38, berkata, dia bersama suami, Noor Asmadi Che Wan, 43, dan lima anak tidak mempunyai pilihan dan terpaksa tinggal di rumah ibunya, Tengku Zubaidah Tengku Hussin, 60.

"Jika diikutkan memang tidak selesa, tetapi kami tiada pilihan apatah lagi ketika pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang mengehadkan sektor pelancongan sejak tahun lalu.

"Ketika sektor pelancongan dibuka, kami tidak berkumpul di rumah ibu disebabkan berada di tempat kerja antara Februari hingga September setiap tahun kerana majikan menyediakan bilik.

"Kami hanya pulang ke rumah ibu ketika musim tengkujuh namun pandemik Covid-19 menyebabkan kami tidak bekerja dan terpaksa tinggal di rumah ibu sepanjang tahun," katanya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah chalet di pulau berkenaan.

Menurut Nik Nor Fatimah, terdapat 22 orang termasuk keluarganya, ibu dan empat adik-beradik lain bersama ahli keluarga masing-masing tinggal di rumah berkenaan.

"Mujurlah tiga adik saya tidak tinggal di sini, jika tidak tentunya keadaan lebih sesak.

"Kami bukan tidak mahu keluar membeli atau menyewa rumah lain, tetapi kami tidak mampu memandangkan pendapatan bergantung kepada sektor pelancongan.

"Ada juga rancangan mahu lakukan ubah suai terhadap rumah ibu, tetapi ia memerlukan kos tinggi selain kedudukan rumah ibu yang berada di kawasan berbukit juga membataskan kami," kata anak kedua daripada lapan beradik itu.

Sementara itu, warga emas, Zaharah Draman, 65, turut meluahkan perasaan sama apabila terpaksa tinggal bersesak-sesak bersama 13 ahli keluarganya termasuk dua cucu yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori lembam.

Katanya, dia sememangnya mahu menyediakan rumah yang selesa namun tidak mampu berbuat demikian kerana faktor kewangan memandangkan kos untuk mengubah suai rumah di pulau adalah lebih tinggi berbanding di tanah besar.

"Sebelum ini, ada juga buat ubah suai, tetapi akhirnya terpaksa melupakan hasrat itu kerana kos tinggi. Mahu atau tidak kami terpaksa bersesak di rumah ini yang hanya mempunyai tiga bilik dan satu tandas.

"Tidak dapat saya bayangkan jika cucu-cucu semakin membesar dan tentunya tidak selesa daripada segi pergaulan dan privasi, sebab itu saya harap sangat projek perumahan yang pernah dijanjikan sebelum ini ditunaikan," katanya.

Menurut Zaharah, dia berharap pihak berkaitan dapat menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk di pulau peranginan itu.

"Sebelum ini, memang gembira apabila dimaklumkan pembinaan rumah pangsa, namun apabila projek itu dibatalkan memang sedih.

"Semua orang mengimpikan rumah dan tentunya saya serta penduduk terutama generasi kedua dan seterusnya berharap mahu memiliki rumah sendiri," katanya.

Situasi sama turut diluahkan Siti Norwani A Karim, 38, yang menyimpan impian untuk memiliki rumah sendiri.

Dia bersama suami dan dua anak terpaksa tinggal berhimpit-himpit bersama ibunya, Nik Rukiah Dollah, 65, dan empat adik-beradik serta pasangan dan anak-anak masing-masing.

"Abang sulung bersama isteri dan anak mereka mempunyai rumah di Kuala Besut dan membawa ibu yang menghidap strok tinggal bersama mereka.

"Namun, mereka biasanya akan pulang ke rumah ini pada hujung minggu dan apabila semua berkumpul, terdapat 18 orang daripada tiga generasi berada pada satu-satu masa," kata anak keenam daripada tujuh beradik.

Katanya, bagi memberi keselesaan dan privasi, mereka membuat lima bilik kecil untuk setiap keluarga dengan bilik ibunya berada berhampiran dapur.

"Sebenarnya bilik itu hanya digunakan untuk tidur pada waktu malam dan menukar pakaian sahaja, manakala selebihnya kami akan berkumpul di luar.

"Biasanya, pada waktu siang, kami adik-beradik akan berkumpul di ruang tamu atau luar rumah manakala anak-anak tidur di satu bahagian bersama ibu," katanya.

Katanya, dia berharap kerajaan dapat menyediakan rumah mampu milik untuk generasi sepertinya demi keselesaan mereka.

KEADAAN beberapa rumah kampung di Pulau Perhentian.
KEADAAN beberapa rumah kampung di Pulau Perhentian.

Dua, tiga keluarga tinggal serumah

Kira-kira 10 daripada 220 rumah di Pulau Perhentian didiami enam keluarga daripada tiga atau empat generasi berikutan kekangan dihadapi penduduk setempat untuk memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Perhentian Mohd Zakuwan Mat Nasir berkata, daripada jumlah itu, kebanyakan rumah di pulau peranginan terbabit didiami antara dua hingga tiga keluarga.

Katanya, secara keseluruhannya, terdapat lebih 2,000 penduduk di Pulau Perhentian berbanding hanya terdapat 220 rumah.

"Melihat kepada jumlah penduduk, rumah yang ada ketika ini memang tidak mencukupi menyebabkan ada penduduk terpaksa bersesak-sesak sehingga enam keluarga di dalam sebuah rumah.

"Sebab itu, kita harap pihak berwajib dapat menyegerakan kediaman rumah yang baharu untuk penduduk terutama bagi generasi kedua," katanya ketika dihubungi, di sini.

Mohd Zakuwan berkata, dia bersama ahli keluarganya tinggal di rumah pusaka milik arwah ibunya sementara dua lagi adik-beradiknya tinggal di tanah besar.

"Saya adalah generasi kedua dan rumah ini asalnya milik ibu, namun saya dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya kerana dua beradik lain tinggal di Besut mengikut pasangan masing-masing.

"Namun, ada penduduk terpaksa bersesak dan berhimpit di rumah yang asalnya milik orang tua dan mereka ini tidak mempunyai pilihan lain.

"Besar harapan kami untuk melihat pembinaan rumah baharu yang pernah dijanjikan sebelum ini dapat direalisasikan bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk sejak lebih 10 tahun lalu," katanya.

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Isu dialami dalam perhatian kerajaan

Isu perumahan yang dialami penduduk di Pulau Perhentian dalam perhatian kerajaan pusat dan negeri yang merancang pembangunan rumah mampu milik di pulau peranginan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihaknya sedia maklum dengan masalah dialami penduduk di pulau berkenaan yang terpaksa bersesak-sesak di dalam rumah yang sama.

"Sebenarnya isu pembinaan rumah perlu disegerakan bagi mengelak dua, tiga atau empat keluarga berada di dalam sebuah rumah supaya setiap isi rumah dapat hidup dalam keadaan selesa.

"Apabila berlaku PKP dan PKPD di mukim Besut baru-baru ini, kita dapati apa yang menjadi kekangan adalah apabila sebuah rumah didiami lebih satu keluarga.

"Ada sesetengah rumah itu mempunyai enam keluarga dan apabila ia berlaku, tentunya berlaku kesukaran daripada segi sosial, pengaulan dan keselesaan berikutan saiz rumah yang kecil dan rapat di antara sama lain," katanya.

Menurut Tengku Zaihan, isu berkenaan juga ada dibangkitkan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu bagi memastikan pembinaan rumah mampu milik (RMM) untuk penduduk di Pulau Perhentian dapat direalisasikan segera.

"Malah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ada datang ke Pulau Perhentian untuk meneliti dan insya-Allah, ia dalam proses untuk merancang dan mereka bentuk rumah dengan keadaan setempat.

"Mengenai lokasi rumah, terdapat dua pilihan iaitu Kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil (penempatan penduduk ketika ini) dan Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar iaitu perkampungan asal penduduk sebelum berpindah ke Kampung Pasir Hantu," katanya.

Untuk rekod, kerajaan pernah mengumunkan pembinaan rumah pangsa mengandungi kira-kira 200 unit rumah di Pulau Perhentian bagi menyelesaikan masalah kesesakan penduduk pada 2011.

Bagaimanapun, projek yang bermula pada 2013 itu terbengkalai pada 2018 sekali gus memusnahkan impian penduduk yang sudah lama mengimpikan kediaman sendiri.

Rumah sesak jejas kualiti kehidupan

"Rumah tidak semestinya perlu bersaiz besar atau kecil, cukup mengikut bilangan dan keselesaan penghuninya."

Begitu kata Ketua Pegawai Psikologi Unit Kaunseling Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Rosni Mohammad berhubung isu kesesakan dalam rumah yang membelenggu penduduk di Pulau Perhentian.

Menurutnya, rumah yang baik adalah selamat untuk diduduki dengan menyediakan ruang mengikut bilangan ahli keluarga dan dilengkapi ruang mencukupi untuk menjalani kehidupan dengan selesa.

Katanya, keadaan yang selesa akan memberikan pemikiran tenang kepada penghuni sekali gus memberikan emosi gembira dan seronok ketika berada di rumah dan sebaliknya akan berlaku apabila rumah tidak selesa sehingga boleh menyebabkan tekanan.

"Daripada sudut psikologi, semua manusia memerlukan tempat perlindungan yang sempurna bagi membantu ketenangan emosi dan keperluan dalam hubungan sosial dan pergaulan bagi melahirkan kehidupan bahagia serta kesihatan emosi dan mental yang terjaga apatah lagi dalam kehidupan pasca pandemik ini.

"Rumah adalah tempat untuk penghuninya beristirehat, menenangkan badan serta jiwa dan jika dalam masyarakat Islam, rumah itu perlu membawa roh Islam di mana elemen-elemen positif ke arah berkenaan perlu dipupuk dan dibangunkan dengan ruang yang bersesuaian.

"Ruang kediaman bagi Muslim adalah refleksi keperibadian Islam dan masyarakatnya yang mana kediaman yang bersih serta teratur mencerminkan keutuhan keperibadian, adab dan tingkah laku penghuninya terhadap Pencipta-Nya," katanya.

Rosni berkata, kediaman selesa bukan hanya untuk memenuhi keperluan emosi dan ruang yang sempurna semata-mata, sebaliknya memenuhi keperluan ibadah dan melindungi privasi penghuninya terutama kaum wanita.

"Sebarang bukaan pada dinding dan perletakan penghadang perlu memenuhi kehendak isi rumah dan aspek aurat juga perlu ditekankan seterusya mengelak berlakunya gejala sosial seperti sumbang mahram, pergaulan bebas dan sebagainya.

"Kajian mendapati tahap ekonomi yang rendah seperti keadaan rumah sempit dan tidak mempunyai bilik mencukupi akan mempengaruhi perhubungan adik-beradik berlainan jantina.

"Tidak semua keluarga mempunyai taraf kehidupan yang selesa dan masih ada keluarga di Malaysia terpaksa berhimpit seperti yang berlaku pada kebanyakan keluarga di Pulau Perhentian," katanya.

Menurutnya, keadaan rumah yang sesak dan sempit menyebabkan anak-anak lebih suka melepak di luar, selain turut mengganggu pembelajaran anak-anak.

Katanya, langkah terbaik adalah mencari kediaman lebih selesa dan menyediakan ruang yang luas supaya ahli keluarga dapat menjaga batas aurat dan melakukan aktiviti sosial dengan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 12:00 PM