Faizul Azlan Razak


Besut: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Pulau Perhentian terkubur apabila ketua dan semua ahlinya keluar parti dengan menyertai Umno serta Barisan Nasional (BN).

Bekas Ketua Cawangan Bersatu Pulau Perhentian Nik Faizal Mat Saman, 50, berkata, keputusannya meninggalkan parti sebulan lalu membawa kepada 125 ahli lain turut serta berbuat demikian.

Menurutnya, keputusan keluar daripada Bersatu dan kembali menyertai Umno dibuat kerana sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan di peringkat Bahagian Besut dan pimpinan Pusat.

"Selepas hampir sepenggal saya bersama Bersatu, saya melihat parti ini tidak dapat membantu kebajikan ahli di peringkat bawahan.

"Di pulau ini sendiri, tiada apa kemudahan diberikan kepada saya dan ahli. Malah, mahu buat perjumpaan atau mesyuarat terpaksa diadakan di kedai makan saja," katanya.

Beliau ditemui selepas program turun padang calon kerusi Parlimen Besut Datuk Nawi Mohamad, bersama penduduk di perkampungan Pulau Perhentian di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Nik Faizal dan yang lain diumumkan menyertai Umno selain gimik penyerahan bendera BN daripada Nawi turut diadakan.

Nawi Mohamad (tiga dari kanan) bersama ahli BERSATU yang keluar parti dengan menyertai parti BN ketika program bersama penduduk di Kampung Pulau Perhentian. FOTO GHAZALI KORI
Nawi Mohamad (tiga dari kanan) bersama ahli BERSATU yang keluar parti dengan menyertai parti BN ketika program bersama penduduk di Kampung Pulau Perhentian. FOTO GHAZALI KORI

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Tengku Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Sementara itu, Nawi berkata, penyertaan Nik Faizal dan semua bekas ahli Bersatu diharap dapat menambah kekuatan jentera BN di pulau berkenaan.

"Saya yakin, dengan sokongan yang akan diberikan penduduk di pulau ini kepada parti, ia akan membantu meningkatkan undi BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 2:39 PM