Zatul Iffah Zolkiply


Jerteh: Pemilik inap desa dan chalet di Pulau Perhentian, di sini, hanya merenung nasib apabila perniagaan mereka yang terjejas kerana pandemik Covid-19 masih belum dibenarkan beroperasi.

Rata-rata pengusaha tidak dapat menyembunyikan keresahan mengenangkan kehidupan mereka yang terkesan kerana kebanyakannya bergantung kepada aktiviti pelancongan berikutan langkah kerajaan melarang pergerakan rentas daerah dan negeri ketika ini.

Pengusaha rumah tumpangan Nik Suria Nik Mat, 52, berkata premisnya hanya sempat beroperasi selama sebulan sahaja walaupun sudah mengeluarkan belanja hampir RM800,000 bagi membina 21 bilik pada penghujung 2019.

"Ketika jangkitan Covid-19 mula merebak di Malaysia pada Mac tahun lalu, proses pembinaan giat dijalankan dan ia siap sepenuhnya pada September tahun yang sama.

"Saya hanya sempat beroperasi selama satu bulan sebelum terpaksa menghentikan operasi kerana musim tengkujuh," katanya yang memiliki sebuah kedai runcit.

Nik Suria Nik Mat, 52, menunjukkan penginapan yang dibina di Pulau Perhentian. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Nik Suria Nik Mat, 52, menunjukkan penginapan yang dibina di Pulau Perhentian. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Nik Suria berkata, dia bersama keluarga sepakat menceburi bidang itu selepas melihat potensi yang cerah dalam bidang pelancongan.

"Kita tahu Pulau Perhentian menjadi tumpuan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara, sebab itu kami sepakat mengeluarkan modal sendiri untuk membina bilik ini.

"Semua wang simpanan, barangan kemas dan duit simpanan anak-anak digunakan untuk membina penginapan ini, namun wabak Covid-19 memberi kesan besar kepada industri pelancongan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pelancongan Pulau Perhentian Abdul Aziz Che Abdullah berkata, pembinaan inap desa miliknya turut tergendala susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berkesudahan.

"Saya buat inap desa ini pada Disember tahun lalu dan jangka siap bulan ini, tetapi kini semuanya terbantut kerana pelaksanaan PKP. Saya sudah mengeluarkan belanja yang banyak selain membuat pinjaman bank, tetapi jadi situasi seperti ini, memang sumber kewangan terganggu.

"Kita ada komitmen bulanan lain sehingga terpaksa menjual kereta bagi menampung perbelanjaan," katanya.

Ketika ini, terdapat 80 premis terdiri daripada inap desa, chalet dan resort di Pulau Perhentian dengan majoritinya pengusaha adalah penduduk tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:25 PM