TAPAK sampah haram.
TAPAK sampah haram.
Mahaizura Abd Malik dan Minda Ranggong


Kuala Lumpur: Sebanyak 2,093 tapak pelupusan sampah haram di tujuh negeri ditutup dengan kos anggaran pembersihan berjumlah RM1.6 juta sepanjang tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan pembasmian besar-besaran tapak sampah haram itu mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2007 (Akta 672).

Katanya, jumlah sisa yang dibersihkan di Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang itu mencecah 6,410 tan metrik sampah.

"Sepanjang 2023 juga, sebanyak 15 kes pendakwaan mahkamah berjaya disabitkan kesalahan dengan jumlah denda sebanyak RM168,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi pembersihan dan penutupan tapak pelupusan sampah haram di Jalan Davis, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ir Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Tapak seluas 18,000 kaki persegi milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu dicadangkan untuk membina masjid Cina Muslim, sebaliknya dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

Kor Ming berkata, KPKT menerusi SWCorp memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti lokasi hotspot tapak pelupusan sampah haram.

"Kita tidak akan kompromi jika keadaan ini masih berterusan, KPKT pertimbangkan cadangan meminda undang-undang supaya kadar denda dilipat gandakan.

"Malah, hukuman penjara juga akan dipertimbangkan untuk mereka yang melakukan kesalahan berulang," katanya.

Katanya, pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menghubungi talian hotline SWCorp 1800887472 jika mempunyai maklumat tapak pelupusan sampah haram agar tindakan segera diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 4:29 PM