ENAM daripada lapan individu menghidap sindrom autisme yang menyediakan makanan tengah hari untuk petugas barisan hadapan.
ENAM daripada lapan individu menghidap sindrom autisme yang menyediakan makanan tengah hari untuk petugas barisan hadapan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Biarpun mengalami sindrom autisme, ia tidak menghalang enam lelaki dan dua wanita menyediakan 3,300 bungkusan makanan tengah hari untuk petugas barisan hadapan di enam hospital sekitar Lembah Klang.

Menariknya, makanan itu dimasak, dibungkus dan dihantar kepada petugas terbabit oleh penghidap autisme berusia 22 hingga 28 tahun.

Pengasas Autisme Cafe Project Malaysia Mohd Adli Yahya berkata, usaha murni ini dilakukan sejak dua bulan lalu menerusi Support A Frontliner Meal Programme.

Menurutnya, pada bulan pertama pelaksanaan program ini, ia menggunakan dana sumbangan orang ramai.

Seterusnya ialah menerusi pembelian oleh individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menaja makanan kepada petugas barisan hadapan.

"Pemberian makanan ini sebagai simbolik sokongan dan membantu petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang penularan Covid-19.

"Sumbangan ini kecil jika dibandingkan pengorbanan besar petugas barisan hadapan," katanya.

TEKUN menyiapkan bungkusan makanan.
TEKUN menyiapkan bungkusan makanan.

Menurutnya, program ini dilaksanakan menerusi Autisme Cafe Project Malaysia iaitu perusahaan sosial yang menyediakan latihan perkhidmatan makanan untuk belia autisme.

"Tujuannya untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan autisme seperti insan normal lain.

"Namun, sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kafe ini tidak dapat beroperasi seperti biasa. Ia menyebabkan pendapatan mereka (golongan autisme) terjejas," katanya.

Kata Mohd Adli, ini mencetuskan ideanya untuk mengadakan Support A Frontliner Meal Programme supaya lapan belia autisme itu dapat bekerja dan memperoleh pendapatan.

"Semua lapan belia autisme ini berkemahiran mengendalikan tugas di dapur termasuk memasak yang dilatih oleh isteri saya, Nozilan Muhamad, berusia 57 tahun, empat tahun lalu ketika kafe ini beroperasi.

"Malah, kemahiran mereka sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa," katanya.

Tambah Mohd Adli, dia dalam perancangan untuk memperluaskan agihan sumbangan makanan ini ke hospital di negeri lain dengan kerjasama NGO dan syarikat korporat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:05 AM