ADLI (kiri) sentiasa membantu Luqman dan Kit menyelesaikan tugasan masing-masing.
ADLI (kiri) sentiasa membantu Luqman dan Kit menyelesaikan tugasan masing-masing.
LUQMAN (kanan) dan Kit saling membantu.
LUQMAN (kanan) dan Kit saling membantu.
LATIHAN meningkatkan kemahiran berinteraksi bersama pelanggan.
LATIHAN meningkatkan kemahiran berinteraksi bersama pelanggan.
Hajahfarhana Tarmudi


Luqman Shariff Mohd Adli, 17, mula menunjukkan perubahan sikap ketika berusia kira-kira setahun lebih. Ibu bapanya mula menyedari dia tidak menunjukkan hubungan mata ketika berkomunikasi.

Pada masa sama, dia juga tidak menunjukkan sebarang maklum balas apabila namanya dipanggil. Ketika usianya semakin meningkat, ibu bapanya juga dapat melihat cara Luqman memegang pensel jauh berbeza daripada kanak-kanak normal lain.

Ayahnya, Mohd Adli Yahya berkata, ketika itu juga, dia segera mencari maklumat terperinci mengenai tanda yang dilihat pada Luqman.

Melalui pemeriksaan bersama doktor ketika usianya dua tahun mengesahkan dia mengalami autisme. Sejak itu, pelbagai tanda lain muncul satu persatu.

Perkara menghairankan Adli adalah apabila Luqman berhenti bercakap ketika usianya memasuki tiga tahun dan berlanjutan hingga ke hari ini.

“Cara Luqman berjalan berjengket-jengket. Pada masa sama, dia turut mengalami alahan jika mengambil makanan yang mengandungi kasein dan gluten.

“Kasein adalah sejenis protein yang terdapat di dalam susu lembu manakala gluten boleh didapati di dalam tepung. Selain itu, saya juga pastikan Luqman tidak mengambil gula dalam jumlah berlebihan kerana ia akan menyebabkannya hiperaktif.

“Sejak saya tahu alahan makanannya, kami sentiasa berhati-hati dalam memberikan hidangan bagi mengelak kesan buruk yang mungkin dialaminya,” katanya.

Ujarnya, selama dua bulan diet Luqman dijaga rapi, Adli dapat melihat perubahan anaknya itu apabila dia mendapati cara berjalannya sedikit berubah menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

Bukan itu saja, Adli memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah apabila Luqman mula memberi maklum balas ketika namanya dipanggil, memahami percakapannya dan pandai mengurus diri.

Gigih melatih anak autisme

Melihat kepada masalah dan kekurangan yang dihadapi anaknya itu, Adli tekad mewujudkan satu program yang dipanggil Autism Cafe Project. Tampak seperti kafe biasa yang menyajikan hidangan sarapan, namun sebenarnya ia sangat istimewa dan diwujudkan dengan harapan yang besar.

“Awalnya, saya pernah mengetuai satu pertubuhan untuk pendidikan anak autisme dan projek mingguan tapi tidak melihat perubahannya dalam kalangan peserta.

“Kemudian, saya memikirkan idea baru untuk membantu anak autisme dengan projek ini. Melalui bantuan orang ramai dan modal sendiri, saya beli peralatan untuk memulakan projek kafe ini untuk anak autisme melakukan latihan meningkatkan kemahiran asas mereka.

“Selepas mendapat tahu ada ruang disediakan di iM4U Sentral, Puchong, saya segera memohon bantuan dan bersyukur permohonan diterima,” katanya.

Dia sengaja tidak menyediakan menu bertulis di kafe berkenaan bagi menggalakkan pekerja, yang rata-rata dalam kalangan autisme berkomunikasi dengan pelanggan.

Sedikit sebanyak cara berkenaan dapat mengajar mereka agar lebih berkeyakinan tinggi dan berinteraksi dengan pelbagai jenis pelanggan.

Ini bukan saja membantu meningkatkan kemahiran anak autisme malah memberi didikan dan kesedaran kepada orang ramai untuk lebih memahami mereka.

Justeru, projek berkenaan bukan saja mendapat sokongan daripada iM4U bahkan ibu bapa yang mempunyai anak autisme dan sukarelawan khas turut datang untuk membantu serta melawat terutama jika ada aktiviti yang berlangsung.

“Saya berharap lebih banyak syarikat korporat datang dan melihat sendiri perubahan yang dialami anak autisme ini. Tidak hanya mahu anak autisme mampu berdikari mengurus diri malah memasang impian tinggi agar mereka yang ada kelayakan ditawarkan bekerja.

“Sasaran utama program ini adalah untuk memastikan anak autisme ini memiliki masa depan cerah. Ketika ibu bapa masih ada memang kita tidak perlu bimbang, namun apa akan jadi kepada mereka apabila insan diharap tiada lagi di sisi,” katanya.

Dalam tempoh terdekat, Adli menyediakan sendiri semua hidangan bersama isteri dan dibantu Luqman di rumah. Ia bertujuan mengelakkan sebarang bahaya jika memasak di kafe secara langsung setiap kali menerima pesanan pelanggan.

Pada masa sama, cara berkenaan juga memudahkan pelanggan untuk memilih hidangan diinginkan. Pelbagai menu menarik dan ringkas disediakan seperti nasi lemak, roti jala, kuih dan kek cawan untuk dijamu.

Namun, Adli berharap dapat membuka menyediakan dapur berpusat bagi memudahkan dia memasak pelbagai menu yang sesuai.

Sedia pelbagai peluang

Menurut Pengarah Kumpulan Pengurusan Jenama iM4U Tan Shyue Wern, pihaknya sentiasa memberi sokongan dan peluang kepada semua belia untuk mengadakan aktiviti termasuk projek komuniti.

“Justeru, kami menyediakan ruang dan peralatan kepada belia untuk menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat.

“Untuk Autisme Cafe Project pula, pihak kami menyediakan ruang yang selesa untuk melatih anak autisme meningkatkan keyakinan dan kemahiran mereka.

“Pada masa sama, kami turut memberi bantuan karavan (trak makanan) jika ada aktiviti berkaitan yang memerlukannya,” katanya.

Ujarnya, projek berkenaan adalah platform untuk memberi kesedaran mengenai autisme bukan saja kepada staf tetapi orang awam yang berkunjung.

Ini kerana kebiasaannya, anak autisme sukar mendapatkan pekerjaan dan tidak diberi peluang untuk menunjukkan kehebatan mereka.

Kata Tan, melalui projek berkenaan ia sedikit sebanyak membantu menambah kemahiran, ilmu dan komunikasi interpersonal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 5:47 AM