PENGORBANAN bapa juga bukan hanya diterjemahkan menerusi ikhtiar mencari nafkah seharian untuk memenuhi keperluan keluarganya semata-mata, malah berkorban lebih daripada itu termasuk menggadai nyawa sendiri. FOTO Arkib NSTP & Genes Gulitah
PENGORBANAN bapa juga bukan hanya diterjemahkan menerusi ikhtiar mencari nafkah seharian untuk memenuhi keperluan keluarganya semata-mata, malah berkorban lebih daripada itu termasuk menggadai nyawa sendiri. FOTO Arkib NSTP & Genes Gulitah
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sahsiah diri dan kejayaan seseorang individu terbentuk hasil daripada didikan hebat ibu bapa terutama ketua keluarga yang banyak berkorban untuk memberikan yang terbaik untuk keluarganya.

Malah, pengorbanan bapa juga bukan hanya diterjemahkan menerusi ikhtiar mencari nafkah seharian untuk memenuhi keperluan keluarganya semata-mata, malah berkorban lebih daripada itu termasuk menggadai nyawa sendiri.

Sempena Hari Bapa yang disambut pada 18 Jun setiap tahun, Metro Ahad berkongsi kisah tiga bapa hebat ini yang sanggup berkorban dalam membesarkan zuriat masing-masing.

Kisah 1

Bukan tugas mudah membesarkan tujuh anak sendirian dengan tiga daripadanya terlantar akibat Cerebral Palsy serta pada masa sama perlu mencari nafkah.

Namun, sebagai ketua keluarga, Mohd Zain Abdullah, 60, cekal menerima takdir yang sudah tertulis untuknya dengan memelihara tiga anaknya iaitu Khairul Nisaa', 29, Muhammad Amir, 22, dan Ain Husna, 21, yang terlantar serta memerlukan penjagaan rapi sejak dilahirkan.

Mohd Zain berkata, tanggungjawab itu dipikul sepenuhnya sejak isterinya, Nooraini Ismail meninggal dunia akibat barah payudara pada 2017.

"Sebelum ini, kami berdua menguruskan anak-anak, tetapi sejak dia meninggal dunia, saya menguruskan mereka bertiga sendirian.

"Saya bekerja sebagai tukang rumah di sekitar kampung. Ada masanya saya lari ke rumah sekejap untuk memandikan anak-anak kerana berat badan mereka terlalu berat tidak mampu diuruskan anak anak lain sendirian.

"Pada malam pula, saya tidur di samping mereka kerana anak istimewa ini biasanya tidur lewat," katanya.

Menurutnya, dia sudah biasa dengan suasana sebegitu dan tidak rasa terbeban, sebaliknya pada usia sekarang akan kerap rasa sakit pinggang kerana perlu mengangkat mereka terutama untuk mandi.

MOHD Zain sabar dan tabah menjaga dua anaknya yang menghidapi penyakit Celebral Palsy di Kampung Kok Keli , Tumpat. FOTO Ihsan Mohd Zain Abdullah
MOHD Zain sabar dan tabah menjaga dua anaknya yang menghidapi penyakit Celebral Palsy di Kampung Kok Keli , Tumpat. FOTO Ihsan Mohd Zain Abdullah

Kini katanya, dia bersyukur tugasnya menjadi ringan apabila anak lain, Umi Shamira, 31, Muhammad Alif Aiman,26, Mohd Amar Aizat, 25, serta Muhammad Amri,19, banyak membantu termasuk memasak, menyuap makanan dan menukar lampin pakai buang.

"Pernah juga ada orang datang mahu mengambil dan menjaga salah seorang anak ini, tetapi saya tak mahu kerana selagi ada kudrat biarlah susah senang depan mata saya.

"Walau apa pun berlaku, saya tetap sayang mereka dan ini juga amanat isteri yang berpesan supaya saya dapat menjaga anak-anak dengan baik," katanya.

Katanya, selang enam tahun isterinya pergi, dia diuji lagi apabila anak kelima Muhammad Amir pula meninggal dunia mengikut jejak langkah ibunya.

"Saya terima semua dugaan Tuhan ini dengan reda," katanya yang menetap di Kampung Kok Keli, Tumpat, Kelantan.

Katanya, tidak pernah terfikir di hatinya untuk mencari pengganti isterinya, sebaliknya keutamaan diberikan kepada anak-anaknya.

"Saya rasa bukan semua orang boleh terima keadaan kami ini. Jadi, biarlah macam ini saya pun bahagia bersama anak-anak.

"Saya juga tidak mahu meminta-minta kerana pendapatan RM1,000 sebulan sudah memadai untuk makan pakai kami, malah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memberikan bantuan bulanan untuk anak istimewa ini.

"Cuma saya fikirkan keadaan anak terutama anak istimewa ini. Saya harap dua anak saya itu dapat meneruskan amanah jika apa-apa berlaku kepada saya nanti," katanya.

Kisah 2

Pemergian isteri tersayang pada Ogos 2018, mengubah kehidupan Khairul Abdullah sebagai bapa tunggal yang membesarkan tiga anak sendirian.

Khairul, 48, berkata, isterinya, Marleena Abdul Manaf meninggal dunia lima tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam darah yang menyebabkan kegagalan organ.

Katanya, kehilangan insan tersayang itu memberikan tamparan hebat kepadanya apatah lagi tiga anak mereka masing-masing baru berusia empat tahun, dua tahun dan tujuh bulan.

"Memang tahun pertama sangat sukar bagi saya dan mencabar terutama dari segi emosi.

"Anak-anak masih kecil dan baru kehilangan mak, manakala saya pula hilang isteri jadi memang banyak isu mengganggu emosi kami.

"Saya yang masih bersedih juga tidak cukup tidur kerana menjaga bayi dan setiap malam anak-anak akan tercari-cari mak dia," katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik mendapat sokongan daripada keluarga terutama ibunya yang sanggup berulang-alik dua minggu sekali dari Kedah.

"Alhamdulillah, mak datang untuk membantu saya. Ini memang melegakan dan meringankan sedikit beban dan tekanan dialami saya ketika itu.

"Masuk tahun kedua, saya jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital kerana terlalu tertekan dan anxiety kerana pada tahun pertama saya hendak semuanya sempurna seperti mana isteri masih ada.

"Jadi tahun kedua, saya tidak terlalu memaksa diri dan belajar melepaskan benda tak penting contohnya kalau rumah tak kemas atau baju tak berlipat saya biarkan asalkan makan pakai mereka semua terjaga," katanya.

Katanya, dia sekali lagi diuji apabila tiga anaknya didiagnos dengan pelbagai masalah kesihatan pada tahun ketiga sehingga perlu menjalani terapi dan bertemu pakar.

KHAIRUL membesarkan tiga anaknya sendirian sejak isterinya meninggal dunia lima tahun lalu. FOTO Ihsan Khairul Abdullah
KHAIRUL membesarkan tiga anaknya sendirian sejak isterinya meninggal dunia lima tahun lalu. FOTO Ihsan Khairul Abdullah

"Anak sulung, Khaleef, 9, didiagnos dengan autisme dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) serta masalah jantung.

"Manakala, anak kedua, Khaleel, 8, pula masih trauma dan sampai hari ini masih meraung setiap malam manakala anak bongsu, Khaleed, 6, didiagnos dengan Selective Mutism.

"Setiap bulan, saya perlu membawa mereka berulang-alik ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) dan IJN (Institut Jantung Negara) untuk rawatan dan terapi masing-masing.

Khairul berkata, dia menangani setiap cabaran dengan hati terbuka dan percaya Allah memberikan ujian yang mampu dia lakukan.

"Alhamdulillah, saya diberi kesihatan yang baik dan masih boleh menguruskan rumah dan mereka bertiga setiap hari.

"Saya juga masih boleh membahagikan masa dengan pengajian saya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor serta perniagaan saya.

"Suka saya mengingatkan diri dan bapa lain sesibuk manapun kita, tanggungjawab untuk anak jangan diabaikan walaupun tiada pasangan, jadi selagi mereka masih kecil manfaatkan peluang ini sebaik mungkin dengan selalu ada bersama mereka," katanya.

Menyentuh mengenai jodoh, katanya, dia hanya mengikut rentak laluan takdirnya dan tumpuannya kini membesarkan anak-anaknya dengan baik.

"Memang saya sedar anak-anak perlukan juga orang lain apatah lagi mereka selalu menumpang kasih dengan mak saudara, cikgu dan kakitangan pejabat saya.

"Sebenarnya saya juga sudah cuba kenal dengan orang lain (wanita), tetapi mungkin belum ada jodoh... jadi saya tidak mahu terlalu push diri saya sangat.

"Keutamaan saya kini, membesarkan anak-anak dan pastikan persekolahan dan kesihatan mereka dalam keadaan baik serta rawatan mereka tidak terganggu," katanya.

Kisah 3

Sanggup meninggalkan kerjaya dan menjual harta demi menyediakan masa depan baik untuk anak sulung yang mengalami sindrom autisme.

Itu pengorbanan Mohd Adli Yahya, 59, untuk anaknya, Luqman Shariff, 24.

Mohd Adli berkata, dia mengubah seluruh kehidupan keluarganya demi membangunkan sebuah projek penempatan kerjaya untuk Luqman Shariff, selepas memikirkan kemungkinan risiko majikan sukar menerimanya.

"Saya hendak anak saya hidup macam orang normal lain dan boleh berdikari sedangkan saya tahu dia mempunyai keupayaan terhad, masalah pemahaman serta pertuturan.

"Jadi, saya fikir masa depan dia bergantung kepada saya sebagai ketua keluarga dan ini tanggungjawab saya perlu buat.

"Jadi, saya nekad berhenti kerja sebagai pengarah eksekutif sebuah yayasan perbankan pada Disember 2016," katanya.

MOHD Adli dan isteri Nozilan Muhamad bersama Luqman. FOTO Genes Gulitah
MOHD Adli dan isteri Nozilan Muhamad bersama Luqman. FOTO Genes Gulitah

Katanya, selepas tiada pendapatan akibat berhenti kerja, dia mula menjual barangan berharga termasuk kereta pada Januari 2017 untuk memulakan hidup baharu.

"Saya nekad walaupun saya sendiri tiada pengalaman dalam bidang makanan dan minuman (F&B), saya belajar dan melatih anak saya yang tiada kelebihan macam anak autisme lain.

"Kami sekeluarga turut mengubah gaya hidup mewah kepada biasa-biasa saja. Daripada membeli-belah di luar negara kepada pasar malam serta tidak lagi keluar makan mewah di luar.

"Saya masih ingat, kami juga pernah buka dua meja untuk menjual nasi lemak di depan rumah," katanya.

Menurutnya, dengan modal yang terhad, dia membuka Autism Cafe Project pada Mac 2017 sebagai tempat latihan sementara untuk golongan senasib anaknya bekerja dalam sektor F&B.

"Saya tak mahu bergantung dengan geran atau dana kerajaan sebaliknya kami mencari modal sendiri selain membuat pembentangan dengan organisasi berkaitan untuk memulakan projek ini kerana ini satu-satunya projek kafe pertama autisme di Malaysia.

"Alhamdulillah, kami diberikan tempat percuma untuk membuka kafe di sebuah kompleks untuk 1Malaysia For Youth (1M4U)," katanya.

LUQMAN membantu menyediakan roti dan biskut untuk dijual ketika ditemui di Autisme Cafe Project. FOTO Genes Gulitah
LUQMAN membantu menyediakan roti dan biskut untuk dijual ketika ditemui di Autisme Cafe Project. FOTO Genes Gulitah

Katanya, melatih Luqman dengan mengaitkan kegemaran anaknya, iaitu air.

"Saya tahu dia (Luqman) suka air jadi saya ajar dia membasuh pingan, jadi dia suka dan fokus.

"Saya juga sanggup berjalan kaki dan berhujan panas untuk turun naik pengangkutan awam bagi melatih Luqman berdikari.

"Alhamdulillah, saya tak minta banyak perubahan, kini dia boleh diharap buat kerja termasuk membantu ibunya memasak, membuat biskut serta berdikari," katanya.

Cerminan ibu bapa

Jati diri dan kejayaan seorang anak terbentuk daripada kasih sayang dan keperluan asas dipenuhi ibu bapa yang bertanggungjawab.

Pegawai Psikologi Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, ciri-ciri ibu bapa bertanggungjawab meliputi kesanggupan berkorban apa saja termasuk wang ringgit, masa, tenaga dan perasaan sendiri.

Katanya, ini bersesuaian dengan hierarki keperluan asas manusia iaitu keperluan fisiologi seperti makan minum, keselamatan sebelum mencapai keperluan ketiga, bahagia menerima kasih sayang ibu bapa.

"Jati diri seseorang itu terbentuk daripada teras berkenaan, sebab itu anak-anak memerlukan seseorang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kehidupan mereka.

"Contohnya, kalau bapa dizahirkan dalam bentuk seorang yang bertanggungjawab, prihatin, penyayang serta sanggup berkorban, ia akan membantu perkembangan diri positif serta membentuk karektor anak-anak ke arah lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengorbanan bapa terutama dalam membesarkan anak-anak.

SITI Fatimah. FOTO Arkib NSTP
SITI Fatimah. FOTO Arkib NSTP

Mengulas lanjut, Siti Fatimah berkata, biarpun tanpa pasangan, tanggungjawab terhadap anak tidak harus diabaikan.

"Memang yang melengkapkan asas keperluan itu perlu ada kedua-dua ibu bapa, tetapi sekiranya hanya seorang saja, tiada alasan penyebab anak itu terabai.

"Ibu atau bapa yang membesarkan anak seorang diri memerlukan seluruh keseimbangan pemikiran, perasaan dan tingkah laku. Jadi, apabila dia sanggup berkorban dan bertanggungjawab terhadap anak-anak tanpa melihat itu bebanan, bermakna dia menemui maksud sebenar dalam hidup.

"Jadi, pengorbanan adalah bukti kematangan seseorang individu itu tanpa ada istilah bebanan serta bukti kejayaan ibu bapa itu. Maknanya, lagi bagus dia jaga anak dia, semakin mempengaruhi kejayaan anaknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 12:00 PM