Suraya Roslan


Ampang: Hospital Ampang yang ditukar status kepada Hospital Full Covid-19 kini menempatkan lebih 500 pesakit pandemik itu dengan pelbagai kategori.

Pengarahnya Dr Kasuadi Hussin berkata, ketika ini keadaan pesakit Covid-19 di hospital itu masih terkawal.

"Kebanyakan pesakit tahap empat dan lima yang terpaksa tinggal di wad agak lama.

"Buat masa ini masih terkawal, kita boleh menguruskan pesakit Covid-19 di sini," katanya ketika ditemui di lobi Hospital Ampang hari ini.

Dr Kasuadi berkata demikian dalam program penyerahan makanan dan peralatan kepada pasukan barisan hadapan oleh Pasukan Sukarelawan Penyelamat Kecemasan dan Perubatan Bakti Malaysia (PSPKPBM) diwakili Presidennya, Datuk Seri Dr Shahar @ Sharuddin Al Yahya.

Beliau berkata, pihaknya juga berterima kasih dengan pelbagai pihak yang membantu menyumbangkan peralatan perubatan dan makanan kepada kakitangan hospital itu.

DATUK Seri Dr Shahar @ Sharuddin Al Yahya (dua kanan) menyerahkan 100 bungkusan makanan dan minuman serta peralatan perubatan kepada Dr Kasuadi Hussin (tiga kiri). FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
DATUK Seri Dr Shahar @ Sharuddin Al Yahya (dua kanan) menyerahkan 100 bungkusan makanan dan minuman serta peralatan perubatan kepada Dr Kasuadi Hussin (tiga kiri). FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

"Bagi pihak hospital, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak dan PSPKPBM kerana sudi memberi sumbangan kepada 'frontliners' (petugas barisan hadapan) kami," katanya.

Sementara itu, Dr Shahar berkata, mereka menyerahkan 100 pek makanan, minuman dan peralatan perubatan seperti pelitup muka serta cecair pembasmi kuman kepada hospital itu.

"Sejak Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu, ini adalah misi ke-65 dengan pelbagai sumbangan kita agihkan kepada hospital serta masyarakat di seluruh negara.

"Ini sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan bagi menangani penularan wabak Covid-19," katanya.

Menurutnya, program itu adalah usahasama antara PSPKPBM dan MEDAID Frontliners bersama syarikat korporat Telekom Malaysia (TM) dalam menjalankan program sosial korporat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 3:53 PM