MESIN yang digunakan untuk melombong matawang krypto. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
MESIN yang digunakan untuk melombong matawang krypto. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Mahu bergelar 'jutawan segera' menerusi aktiviti melombong mata wang kripto sehingga sanggup mencuri bekalan elektrik supaya mesin perlombongan boleh dihidupkan 24 jam tanpa menanggung kos elektrik yang tinggi.

Malah, perbuatan tidak bertanggungjawab itu juga menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) difahamkan terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 bilion di antara 2018 dan 2020 lalu.

Keadaan itu dipercayai berlaku kerana nilai tukaran mata wang kripto masa kini adalah yang tertinggi dalam sejarah apabila merekodkan 1BTC iaitu hampir bersamaan dengan RM230,000.

Trend kenaikan nilai tukaran itu dilihat akan berterusan untuk tempoh beberapa bulan akan datang, sekali gus menjejaskan industri perkakasan komputer terutama untuk perbekalan unit pemproses grafik (GPU) di pasaran.

Secara asasnya, lebih banyak mesin perlombongan berkenaan, maka lebih tinggi peluang untuk mendapat ganjaran hasil daripada penyelesaian proses perkomputeran kompleks yang berlaku di ruang maya.

Pelombong mata wang digital ini akan diberikan ganjaran dengan nilai tertentu apabila mampu menyelesaikan masalah pengiraan perkomputeran kompleks yang dipanggil sebagai Blockchain.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, proses perlombongan wang digital itu membabitkan proses pengiraan komputasi yang sangat kompleks.

"Proses berkenaan sememangnya berlaku 24 jam dan setiap pelombong kripto ini akan menyelesaikan masalah komputasi.

"Ia umpama menyelesaikan teka silang kata secara maya menerusi kuasa pemproses sesebuah pelombong (miner) dan ganjaran akan diberikan berupa mata wang kripto kepada pemilik akaun kripto yang berjaya menyelesaikan masalah itu," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau menyatakan alat berkenaan terdiri daripada unit pemproses grafik (GPU), bekalan kuasa (PSU) dan papan induk untuk melaksanakan proses penyelesaian komputasi itu.

Katanya, jika seseorang pelombong itu mempunyai lebih banyak mesin, maka urusan penyelesaian komputasi menjadi lebih mudah jika dibandingkan dengan pengguna yang hanya bergantung kepada satu mesin perlombongan saja.

"Sebagai contoh, jika seorang individu menggunakan GPU berprestasi tinggi berharga ribuan ringgit, ia hanya mewakili lebih kurang 0.001 peratus kuasa perkomputeran.

"Dengan bahasa mudah, lebih banyak perkakas ini digunakan, lebih tinggi peluang untuk mendapat ganjaran dan lebih tinggi kos bekalan elektrik yang terpaksa ditanggung.

"Jika ada pihak yang menyatakan bahawa kaedah itu membolehkan mereka menjadi 'jutawan', ia bukan semudah itu kerana membabitkan banyak aspek termasuk persaingan antara pelombong maya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 1:00 PM