KAKITANGAN TNB  melakukan pemeriksaan kecurian elektrik.
KAKITANGAN TNB melakukan pemeriksaan kecurian elektrik.
Mohd Azam Shah Yaacob


KUANTAN: Kaut untung berjuta-juta namun culas membayar bil malah ada yang dikesan mencuri elektrik.

Itu tindakan ‘pelombong’ mata wang maya atau kripto seperti Bitcoin dan Litecoin di negara ini yang didapati mencuri elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika menjalankan kegiatan melombong mata wang berkenaan.

Malah, dalam operasi penguatkuasaan dijalankan di zon Pantai Timur semalam, TNB berjaya mengesan sebanyak 23 premis melombong mata wang itu yang mencuri elektrik dan punca gangguan bekalan di beberapa kawasan sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

Pengurus Besar (Perjangkaan) Bahagian Rangkaian Pembahagian TNB Siti Sarah Johana Mohd Said berkata, elektrik yang dicuri itu disambung secara haram dari peti agihan elektrik mengakibatkan kerugian kira-kira RM3.2 juta.

Katanya, tindakan premis berkenaan bukan saja merugikan TNB sebaliknya turut mengundang bahaya kepada premis berdekatan berikutan dilakukan tidak mengikut piawaian.

“Dalam operasi hari ini (semalam), kebanyakan sambungan haram oleh pelombong mata wang kripto itu dibuat dalam skala besar menggunakan arus voltan di luar kemampuan fius di peti agihan elektrik.

“Tindakan itu boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan sekitar premis berkenaan dan lebih berbahaya lagi ia boleh mencetuskan kebakaran berikutan melanggar piawaian serta arus voltan yang dihadkan,” katanya.

ALAT melombong mata wang kripto.
ALAT melombong mata wang kripto.

Katanya, ada antara premis melombong mata wang maya itu hanya membayar bil utiliti sekitar RM216 sebulan, sedangkan jumlah voltan dicuri sekitar 1,500 amphere atau bersamaan nilai kegunaan RM108,000 sebulan.

Katanya, sejak Januari hingga Jun lalu, pelombong mata wang maya itu mengakibatkan kerugian sebanyak RM106 juta.

“Jumlah itu membabitkan 457 premis melombong mata wang maya yang dikesan mencuri elektrik dengan membuat sambungan haram dan paling banyak adalah di Selangor.

“Malah, kegiatan sambungan elektrik haram oleh pelombong maya itu kita kesan bermula sejak Januari tahun lalu dengan anggaran kerugian sepanjang tahun berkenaan sebanyak RM76 juta,” katanya.

Siti Sarah Johana berkata, TNB akan menggunakan peruntukan undang-undang mengikut Akta Bekalan Elektrik bagi menuntut ganti rugi daripada pemilik premis dan pemegang akaun bil elektrik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 6:00 AM