PERALATAN mesin serta rangkaian komputer menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto yang disyaki membuat sambungan elektrik secara haram. FOTO Arkib NSTP
PERALATAN mesin serta rangkaian komputer menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto yang disyaki membuat sambungan elektrik secara haram. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Semata-mata mahu menjadi 'jutawan kripto' ada yang sanggup mencuri bekalan elektrik bagi memastikan mesin 'perlombongan digital' beroperasi 24 jam tanpa menanggung beban kos membayar bil elektrik.

Perlombongan kripto masih berterusan hingga kini, malah syarikat pembekal tenaga menanggung kerugian akibat kecurian bekalan elektrik berjumlah jutaan ringgit setiap tahun.

Walaupun pihak berkuasa sering melakukan operasi di premis yang menjalankan perlombongan kripto secara haram, masih ada yang sanggup dikenakan tindakan kerana tarikan ganjaran yang ditawarkan sehingga mencecah jutaan ringgit untuk pengumpulan mata kripto.

Secara asasnya, lebih banyak mesin perlombongan berkenaan, lebih tinggi peluang untuk mendapat ganjaran hasil daripada penyelesaian proses perkomputeran kompleks yang berlaku di ruang maya.

Pelombong mata wang digital berkenaan akan diberikan ganjaran dengan nilai tertentu apabila mampu menyelesaikan masalah pengiraan perkomputeran kompleks yang dipanggil sebagai Blockchain.

Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook berkata, proses pelombongan digital itu membabitkan proses pengiraan komputasi yang sangat kompleks.

"Proses berkenaan berlaku 24 jam dan setiap pemilik pelombong kripto ini akan menyelesaikan masalah komputasi.

"Ia umpama menyelesaikan teka silang kata secara maya menerusi kuasa pemproses sesebuah pelombong dan ganjaran akan diberikan berupa mata kripto kepada pemilik akaun kripto yang menyelesaikan masalah itu," katanya.

Mengulas berhubung perkakas perlombongan itu, beliau menyatakan bahawa alat berkenaan terdiri daripada unit pemproses grafik (GPU), bekalan kuasa (PSU) dan papan induk untuk melaksanakan proses penyelesaian komputasi.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LE Global Services iaitu firma keselamatan siber terkemuka menyatakan lebih banyak perkakas berkenaan digunakan, lebih tinggi peluang untuk menyelesaikan sesuatu blok masalah.

"Contoh, jika seorang individu menggunakan GPU berprestasi tinggi berharga ribuan ringgit, ia hanya mewakili lebih kurang 0.001 peratus kuasa perkomputeran.

"Dalam bahasa mudah, lebih banyak perkakas ini digunakan, lebih tinggi peluang untuk mendapat ganjaran dan lebih tinggi kos bekalan elektrik yang terpaksa ditanggung.

"Jika ada menyatakan bahawa kaedah itu membolehkan mereka menjadi jutawan, ia bukan semudah itu kerana membabitkan banyak aspek termasuk persaingan pelombong maya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:30 AM