KAKITANGAN  TNB melakukan pemeriksaan di premis yang mencuri tenaga elektrik.
KAKITANGAN TNB melakukan pemeriksaan di premis yang mencuri tenaga elektrik.
Mohd Azam Shah Yaacob


KUANTAN: Pelombong mata wang maya atau kripto dikesan paling rakus mencuri bekalan elektrik di negara ini bagi menjalankan aktiviti perlombongan menggunakan mesin melombong.

Malah, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, mereka paling banyak dikesan melakukan sambungan elektrik secara haram dalam skala besar mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit.

Pengurus Besar (Perjangkaan) Bahagian Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Siti Sarah Johana Mohd Said berkata, sepanjang tahun lalu 610 kes kecurian elektrik membabitkan pelombong mata wang maya dikesan dan mengakibatkan kerugian RM76 juta.

Katanya, tahun ini jumlah kerugian dijangka terus meningkat apabila dalam tempoh tujuh bulan pertama saja 457 kes mengakibatkan kerugian RM106 juta dikesan.

“Dulu kes kecurian elektrik kerap membabitkan pihak pengilang, namun kini paling banyak dilakukan oleh pelombong mata wang maya seperti Bitcoin.

“Berdasarkan rekod sepanjang tahun lalu, kerugian dicatatkan sebanyak RM76 juta akibat aktiviti pelombong mata wang maya. Jumlah itu bersamaan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan RM122 juta kerugian ditanggung TNB.

“Malah dalam Operasi Bitcoin sekitar bandar ini semalam (kelmarin), TNB mengesan beberapa premis menjalankan aktiviti perlombongan mata wang maya dalam skala besar menggunakan lebih 500 mesin melombong dan bilangan kes dijangka terus meningkat,” katanya ketika ditemui di Wisma TNB Kuantan, semalam.

Beliau berkata, kumpulan pelombong berkenaan disifatkan sebagai licik kerana menjalankan operasi melombong di premis yang disewa.

Menurutnya, susulan itu pemilik premis perlu bertanggungjawab atas kes kecurian elektrik dilakukan pelombong berkenaan yang antaranya mencecah jutaan ringgit.

“Pemilik sepatutnya perlu mengambil tahu kegiatan atau perniagaan apa yang dilakukan penyewa premis mereka.

“Jika penyewa mereka melakukan kegiatan menyalahi undang-undang seperti membabitkan kecurian elektrik dan melarikan diri, maka pemilik premis yang akan dikenakan tindakan terhadap tuntutan berkenaan.

“Berikutan itu pemilik premis perlu membuat penukaran nama pada akaun. Letak nama penyewa yang menyewa premis mereka,” katanya.

Siti Sarah Johana berkata, orang ramai atau pemilik premis juga diharap dapat menyalurkan maklumat jika mengetahui berlaku aktiviti mencuri elektrik dilakukan pihak tertentu.

“Maklumat daripada orang ramai membantu TNB mengekang masalah gangguan bekalan elektrik termasuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti kebakaran akibat litar pintas atau sambungan tidak mengikut piawaian.

“Aduan boleh disalurkan secara terus menerusi TNB hotline di talian 1300-88-5454,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:30 AM