Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan sektor industri kreatif beroperasi bermula esok manakala Program Latihan Berpusat bagi pasukan dalam Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengambil maklum rayuan semua pihak bagi membenarkan semula operasi beberapa industri.

"Bagi sektor industri kreatif, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju membenarkan industri ini beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Senarai sektor ini adalah produksi animasi atau muzik, pasca produksi di studio, pembangunan muzik secara digital dan rakaman lagu di studio.

"Selain itu, pra-produksi penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitcom, livestreaming, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton dan kebenaran ini berkuat kuasa esok," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO OSMAN ADNAN
GAMBAR hiasan. FOTO OSMAN ADNAN

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan mendengar pembentangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkenaan permohonan kebenaran menjalankan Program Latihan Berpusat bagi pasukan dalam MFL, MHL dan STL.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju membenarkan Program Latihan Berpusat bagi pasukan terbabit bermula Isnin ini.

"Tempat latihan dan pergerakan atlet atau pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan (sports bubble). "Penginapan atlet atau pemain perlu mengikut SOP "Camp-Quarantine" dan "Home-Quarantine" yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, KBS membentangkan cadangan pembukaan beberapa aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan taraf kesihatan diri.

Menurutnya, penelitian akhir sedang dibuat dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:40 PM