SKUAD Selangor FC menjalani latihan di Kompleks Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), hari ini.
SKUAD Selangor FC menjalani latihan di Kompleks Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), hari ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beberapa pasukan yang sudah mendapat kelulusan untuk berlatih mula menjalani latihan hari ini setelah berjaya melengkapkan proses diperlukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Antaranya Selangor FC serta Selangor FC II yang sudah berjaya mendapatkan kelulusan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidun menjelaskan pengalaman pada musim lalu menjadikan mereka bersedia terhadap perkara yang diperlukan serta tidak berdepan banyak kesukaran bagi melengkapkan syarat MFL.

"Kami sudah menghantar semua laporan diperlukan semalam dan MFL juga memberikan kelulusan pada hari sama. Perkara ini bukan sesuatu yang janggal kerana kami pernah lakukan sebelum ini.

"Ujian calitan Covid-19 sudah dilakukan pada Sabtu lalu termasuk sanitasi padang latihan serta beberapa dokumen diperlukan, maka semuanya telah selesai. Pasukan berlatih seperti biasa iaitu latihan secara kontak penuh dan cara SOP (prosedur operasi standard) yang kami pilih adalah 'Home Quarantine'," katanya.

Jelas Dr Johan, beliau yakin pegawai serta pemain mampu menjaga SOP ditetapkan di bawah 'Home Quarantine' bagi memastikan tiada masalah boleh timbul jika ada dalam kalangan pemain terdedah kepada jangkitan Covid-19.

"Semua pemain sedar sepenuhnya akan perkara ini dan mereka tahu tanggungjawab mereka untuk bersama-sama membantu pencegahan Covid-19 ini kerana kesannya pasti besar kepada Liga Malaysia.

"Jika ada yang tidak menjaga SOP, sudah pasti situasi berkenaan akan berikan kesan kepada semua orang tetapi saya tidak bimbang dengan komitmen semua pegawai serta pemain dalam perkara ini, " katanya.

Pada 9 Februari lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan Liga Malaysia (Liga M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula 15 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 6:51 PM