PSM akan menyambung aksi STL. FOTO FB STL
PSM akan menyambung aksi STL. FOTO FB STL
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meluahkan rasa lega selepas mendapat lampu hijau untuk atletnya kembali menjalani latihan bermula Isnin ini.

Ia adalah sesuatu yang amat diperlukan ketika ini kerana segala perancangan dapat digerakkan semula terutama dalam persiapan menghadapi temasya Sukan SEA hujung tahun ini.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia atas kebenaran ini.

"Bukan hanya dapat kembali menjalani latihan tapi kami warga sepak takraw mengucapkan syukur aksi Piala Juara-Juara STL (Liga Sepak Takraw) dapat di sambung semula bagi menyelesaikan baki 13 perlawanan lagi.

"Kami akan memastikan kejohanan ini akan dilangsungkan dalam tempoh lima hari dan mengikut syarat yang ditetapkan secara gelembung sukan di mana pegawai dan pemain akan tinggal di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh PSM," katanya.

Beliau berkata, ia bukan satu masalah buat PSM kerana kaedah gelembung sukan sudah dipraktikkan ketika Kejohanan STL 2020 di Kuala Lumpur dan juga dua hari pertama Piala Juara-Juara STL 2020 di Iskandar Puteri, Johor.

Dalam perkembangan yang sama Ahmad Ismail turut memaklumkan Piala Juara-Juara STL 2020 2020 dijangka akan berlangsung dari 2 hingga 6 Mac ini.

Terdahulu kerajaan membenarkan pasukan yang akan beraksi dalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) serta STL untuk kembali menjalani latihan bermula Isnin ini.

Bagaimanapun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan konsep yang dibenarkan adalah latihan secara berpusat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 6:20 PM