SETIAP pasukan mempunyai tempoh singkat untuk melakukan persiapan. FOTO Bernama
SETIAP pasukan mempunyai tempoh singkat untuk melakukan persiapan. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tempoh 20 hari bermula 15 Februari ini cukup kritikal buat semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) apabila saingan liga tempatan tetap akan dilangsungkan pada 5 Mac ini.

Ini bermakna, dalam tempoh singkat itu kesemua pasukan perlu bijak menyusun strategi terbaik bagi memastikan pemain berada pada tahap memuaskan termasuk meningkatkan kecergasan dan merangka aksi persahabatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan mengekalkan tarikh berkenaan adalah sejajar dengan keputusan pihak kerajaan yang membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin depan.

"Apa yang pasti, perkhabaran positif ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada industri sukan-sukan tanah air sebaliknya kegembiraan kepada penyokong-penyokong yang sentiasa menantikan sepak mula liga bola sepak tempatan.

"Susulan pengumuman kebenaran daripada pihak kerajaan, Liga-M akan kembali membuka tirai pada 5 Mac 2021.

"Setiap pasukan sudah dimaklumkan tentang perlawanan Liga-M yang akan bermula dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah nanti di mana saya berharap kesemua pasukan kekal berdisiplin dalam menjaga amalan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang penganjuran liga," katanya.

Jelasnya, pihaknya menyambut baik kebenaran pihak kerajaan itu di mana program latihan berpusat menyaksikan tempat latihan dan pergerakan atlet atau pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan dengan penginapan atlet atau pemain perlu mengikut SOP 'Camp Quarantine' dan 'Home Quarantine' yang ditetapkan.

"Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas pihak kerajaan membenarkan pasukan-pasukan di dalam Liga-M menjalani sesi latihan secara program latihan berpusat," katanya.

Sebelum ini, MFL mengumumkan untuk menunda tarikh sepak mula Liga-M bagi musim ini yang sepatutnya berlangsung pada 26 Februari, namun disebabkan rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali bersambung sehingga 18 Februari ia menyebabkan tarikh berkenaan diubah kepada 5 Mac.

"Kini tanggungjawab pemain, pegawai dan pasukan adalah mematuhi SOP di mana salah satu langkah iaitu 'Home Quarantine' adalah untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

"Kita tidak mahu ada mana-mana pemain, pegawai dan pasukan gagal mematuhi SOP sehingga menyebabkan kes Covid-19 berlaku," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 6:05 PM