Bermula dengan genre hip hop namun bertukar arah selepas kematian ibunya akibat kanser paru-paru. FOTO Mohamad Shahril Badri
Bermula dengan genre hip hop namun bertukar arah selepas kematian ibunya akibat kanser paru-paru. FOTO Mohamad Shahril Badri
Ridzuan Abdul Rahman


DIGELARKAN 'The New Malique' oleh peminat antara kelebihan yang terdapat pada bakat baharu yang meningkat naik dikenali Siqma.

Populariti Siqma atau nama sebenarnya Rahmat Zulhilmi Abdul Razak, 27, bermula apabila menerbitkan lagu-lagu ciptaannya sendiri yang dikongsi di YouTube sejak 2017.

Penyanyi rap yang memiliki rentak dan gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi itu berkata, dia bermula dengan genre muzik hip hop yang lebih terarah kepada underground sebelum bertukar arah 360 darjah kepada konsep karya 'berjiwa' selepas kematian ibunya sekitar tiga tahun lalu.

"Emak, Zahara Jaafar meninggal akibat kanser paru-paru. Dia adalah kawan yang rapat dan tempat saya meluahkan segalanya.

"Selepas apa yang berlaku, saya ambil pengajaran daripada apa yang emak sudah ajar dan jadikan inspirasi.

"Saya anak kelima daripada anak enam adik beradik dan empat di atas dah berkawin. Justeru, sayalah yang menjaga emak ketika dia sakit," katanya.

SIQMA. FOTO Mohamad Shahril Badri
SIQMA. FOTO Mohamad Shahril Badri

Menurutnya, banyak pengajaran yang diberikan oleh ibunya ketika sakit.

"Sewaktu kebumikan jenazah emak, saya dan abang jadi orang yang terakhir balik.

"Tiba-tiba ada van bawa jenazah tak dituntut dan tiada saudara mara. Kami berdua yang tolong kebumikan.

"Di situ, saya teringat semula pesan emak yang suruh tolong orang. Kalau ambil tak endah, saya takkan nampak benda ini," katanya.

Menurutnya, dia teringatkan perjalanan hidupnya selepas tamat belajar, merantau ke Johor untuk bekerja dan kemudian balik semula ke ibu kota serta bekerja sendiri.

"Saya bukan dilahirkan dalam keluarga yang senang. Kami pernah duduk di setinggan. Saya memang membesar di setinggan.

"Selepas emak tiada, saya mula hasilkan lagu berasaskan pengajaran seperti Raja Simurgh dan Salam 1001.

"Lagu Raja Simurgh, pernah tular di kalangan peminat hingga mereka samakan saya dengan legenda rap, Malique,"

katanya.

Siqma berkata, dia tidak pernah berhasrat meniru Malique, namun menghormati pandangan peminat.

"Saya pun tak sangka, suara sama macam Malique. Cuma, saya memang ada belajar dari segi flow dan cara penulisan lirik. Susunannya, macam karangan.

"Tak sangka saya akhirnya dapat bekerjasama dengan Malique dan sudah selesai merakamkan lagu baharu yang akan diterbitkan Malique pada September nanti.

"Insya-Allah, kalau tiada apa-apa halangan kami akan bekerjasama untuk projek seterusnya," katanya.

SIQMA tak sangka dapat bekerjasama dengan Malique dan sudah selesai merakamkan lagu baharu yang akan diterbitkan Malique pada September ini. FOTO Mohamad Shahril Badri
SIQMA tak sangka dapat bekerjasama dengan Malique dan sudah selesai merakamkan lagu baharu yang akan diterbitkan Malique pada September ini. FOTO Mohamad Shahril Badri

Rasa bertuah dapat jumpa Malique

Ditanya pengalaman bertemu Malique, Siqma memberitahu banyak nasihat yang diberikan penyanyi dan komposer berpengalaman itu .

"Dia banyak kali pesan, supaya jaga sikap sama ada sebelum atau selepas menjadi terkenal suatu hari nanti.

"Saya hanya jumpa dia (Malique) pada tahun lalu apabila dihubungi oleh Luca Sicta untuk hasilkan lirik lagu Rampong nyanyian Ben Ladin.

"Saya buat lirik dan melodi lagu ini. Selepas beberapa minggu, Luca Sicta hubungi saya untuk jumpa Malique dan bertuah rasanya diri," katanya.

Justeru, Malique menjadi individu utama yang akhirnya memperkenalkan Siqma kepada pihak Universal Music Malaysia dan dia tampil dengan dua lagu ciptaan sendiri berjudul 'Cemas' dan 'Salam 1001' secara serentak pada April lalu.

Menerusi lagu "Raja Simurgh" yang dirakam dan dikeluarkan semula, dia menampilkan kerjasama dengan penyanyi rap Kmy Kmo, yang sebelum ini popular dengan lagu 'Zuhud' dan 'Tujuh Nasihat' hasil kolaborasi bersama Luca Sicta, Datuk M Nasir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Lagu ini lebih menceritakan situasi mengenai kepentingan hidup atau wujud secara umum seperti tingkah laku dan amalan, moral, kesetiaan kepada agama dan banyak lagi mengenai diri kita.

"Raja Simurgh adalah peringatan bagi kita untuk selalu bergantung pada diri sendiri kerana pada akhirnya, hanya kita yang tahu apa terbaik untuk diri.

"Apapun, ia bukan lagu ketuhanan tapi lebih kepada mesej positif untuk santapan rohani dan minda pendengar," katanya.

Pernah mempunyai perniagaan di Uptown Danau Kota, Siqma kini nekad menutup perniagaan itu bagi menumpukan sepenuh perhatiannya sebagai artis, komposer dan penerbit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 7:01 AM