SIQMA bakal muncul dengan lagu berjudul Dipinggirkan.
SIQMA bakal muncul dengan lagu berjudul Dipinggirkan.
Norhayati Nordin

Meskipun mengambil pendekatan 'bersendiri', namun kerjaya seni penyanyi rap dan komposer terkenal, Malique Ibrahim sentiasa mekar mewarnai industri hiburan negara.

Justeru, bagi peminat Malique sejak dia menganggotai Too Phat, boleh mengubati rindu mereka dengan produk baharu ciptaan pengkarya hebat ini tidak lama lagi.

Malique bakal hadir dengan lagu berjudul Dipinggirkan yang dinyanyikan bakat baharu seni suara dikenali sebagai Siqma yang dilancarkan pada 20 November ini.

Siqma berkata, dia sangat gembira, teruja dan berbesar hati dapat merakam dan menyanyikan lagu Dipinggirkan itu.

Katanya, lagu itu mempunyai melodi dan lirik yang puitis dan sedap didengar.

"Lagu Dipinggirkan berkisar mengenai seseorang yang hampir berputus asa dan berasa seperti dia dipinggirkan dunia.

"Namun, selepas melalui segala kesusahan dalam kehidupan, semangatnya mula bangkit apabila dia baharu sedar yang setiap perjalanan kehidupannya ada sesuatu atau seseorang akan hadir untuk menemani dan menyokong," katanya.

Mengenai Malique pula yang memiliki bakat seni bukan calang-calang, hingga kini sudah menghasilkan banyak karya lagu berkualiti dan popular yang dinyanyikan penghibur tanah air.

Sejak muncul di persana seni pada 1998, Malique menjadi antara pemain utama dalam sejarah ledakan genre hip hop di arena muzik tempatan apabila karya lagu dendangan dan ciptaannya berjaya memartabatkan genre itu dalam muzik arus perdana.

LAGU Dipinggirkan ciptaan Malique, dinyanyi oleh Siqma.
LAGU Dipinggirkan ciptaan Malique, dinyanyi oleh Siqma.

Hampir 22 tahun bergelumang dalam industri seni, kematangan Malique berkarya tidak boleh disangkalkan lagi.

Berfalsafah menerusi lagu dengan gaya bahasa yang tinggi adalah cara tersendirinya.

Malique juga berjaya mempelopori gaya muzik hip hop bercita rasa tempatan yang dinamakan sebagai ritma atas puisi.

Ia turut diangkat peminatnya sebagai naskhah kesusasteraan Melayu moden.

Bagaimanapun, tetap boleh dilihat kebanyakan karya nukilan puitis Malique yang mengandungi banyak mesej tersirat itu sering menjadi perhatian ramai pencinta seni di Malaysia.

Sebaik dilancarkan nanti, lagu terbitan Universal Music itu boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 6:30 AM