Najiy Jefri

 

PENGGAMBARAN drama bersiri Mencari Kiblat Cinta yang berlangsung di Shah Alam hari ini mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan Harian Metro ke sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam bagi melihat situasi turut mendapati semua pelakon dan kru mengamalkan penjarakan sosial.

Drama arahan Jo Yusoff itu menampilkan lakonan Syazwan Hassan, Dayana Roza, Shah Radhi Hazvee, Husna Mustafa dan lain-lain.  

Tinjauan juga mendapati setiap individu yang datang perlu mendaftar nama dan diambil suhu badan bagi memastikan diri berada dalam keadaan sihat sebelum memulakan tugas.

Setiap orang di lokasi juga diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa kecuali pelakon di depan kamera.

Malah, kakitangan bahagian props juga dilihat  melakukan proses sanitasi semua peralatan yang digunakan selain sentiasa menggunakan cacair pembasmi kuman.

Bagi jurusolek yang perlu mempunyai kontak rapat dengan pelakon turut dilihat memakai sarung tangan pakai buang, pelitup muka sera pelindung muka ( faceshield) yang menjadi antara SOP perlu dipatuhi.

Jo Yusof (kanan) berbincang bersama Darling Ngasri sambil memakai topeng pelitup muka pada hari pertama penggambaran. FOTO AZIAH AZMEE
Jo Yusof (kanan) berbincang bersama Darling Ngasri sambil memakai topeng pelitup muka pada hari pertama penggambaran. FOTO AZIAH AZMEE

Penerbitnya, Darling Ngasri berkata, pihaknya gembira apabila semua kru dan pelakon berdisiplin dan  mematuhi segala garisan panduan yang ditetapkan.

"Ketika sesi penggambaran dibenarkan beroperasi selepas Aidilfitri, saya berasa lega namun dalam waktu sama masih risau kerana wabak ini belum pulih sepenuhnya.

"Lagipun kita tidak pernah berdepan dengan situasi ini membuatkan saya mengumpul segala SOP dan garis panduan yang ditetapkan supaya tidak tertinggal apa-apa ketika memulakan penggambaran.

"Alhamdulillah selepas dua hari penggambaran ini disambung semula, saya melihat semua pelakon dan kru produksi mematuhi SOP dan menjaga penjarakan sosial.

"Tidak perlu saya nak tegur atau ingatkan kepada mereka kerana masing-masing sudah tahu untuk menjaga diri dan bahayanya penyakit ini," katanya.

Menurut Darling, berbaki seminggu penggambaran dia akan turun padang setiap hari bagi memastikan setiap pelakon dan kru mengikut syarat yang ditetapkan.

Kru produksi Mencari Kiblat Cinta bergambar bersama barisan artis dengan mengenakan topeng pelitup muka dan penjarakkan sosial.
Kru produksi Mencari Kiblat Cinta bergambar bersama barisan artis dengan mengenakan topeng pelitup muka dan penjarakkan sosial.

"Kalau dulu jarang saya turun ke lokasi penggambaran tapi sekarang  hari-hari saya akan berada di lokasi. Saya akan bergilir-gilir dan bertukar syif dengan penerbit eksekutif bagi menjaga keselamatan semua pihak.

"Contohnya pagi tadi ketika seorang pelakon kanak-kanak memberitahu dia demam panas, saya memintanya untuk tidak hadir ke lokasi hari ini dan babak terbabit diganti pada hari lain.

 

"Saya enggan mengambil sebarang risiko.  Penyakit ini kita tak nampak dan amat berbahaya. Jadi saya perlu sentiasa berhati-hati dan berkorban serta tidak boleh pentingkan diri sendiri. Malah kakitangan yang berada dalam set penggambaran juga saya kurangkan kerana tidak mahu ramai orang berada dalam satu masa.

"Saya juga meletakkan syarat hanya orang yang diperlukan saja berada dalam set manakala yang lain duduk di luar kerana tidak mahu mereka berkumpul dalam kawasan tertutup," katanya.

Terdahulu, penggiat industri perfileman menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan membenarkan meneruskan aktiviti penggambaran bermula semalam mengikut SOP ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 5:34 PM