REZEKI Husna Mustaffa terbabit dalam lakonan apabila ditawarkan penerbit syarikat produksi ketika memperaga pakaian.
REZEKI Husna Mustaffa terbabit dalam lakonan apabila ditawarkan penerbit syarikat produksi ketika memperaga pakaian.
Ridzuan Abdul Rahman


PENAMPILAN memukau ketika tampil memperaga pakaian dalam satu persembahan fesyen membuka rezeki Husna Mustaffa untuk terbabit dalam lakonan.

Husna, 34, atau nama sebenarnya Sharifah Husna Syed Mustaffa berkata, sudah rezekinya apabila seorang wanita menemuinya bagi menawarkan peluang berlakon.

"Dua hari selepas itu, saya dihubungi kakitangan syarikat produksi yang meminta saya datang menjalani uji bakat. Saya datang tapi dia tak suruh menjalani uji bakat, sebaliknya terus diberi skrip.

"Saya terkejut dan dari situ baharu saya tahu wanita yang saya jumpa itu ialah Datin Zaiton Mohd Jiwa, pengasas dan penerbit syarikat produksi Global Station Sdn Bhd.

"Drama pertama saya bersama Global Station adalah Isteri Tuan Ihsan yang diterbitkan pada 2016. Dari situlah saya mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan," katanya membuka bicara.

Husna secara jujur mengakui sebenarnya dia tak terfikir untuk menjadi pelakon. Walaupun mempunyai minat, dia tidak pernah terpanggil untuk mencuba nasib.

"Sudah lebih empat tahun saya dalam bidang lakonan. Cuma dalam tempoh dua tahun ini barulah saya berlakon secara serius.

"Saya masih lagi aktif dalam bidang peragaan dan iklan komersial televisyen. Cuma sekarang saya lebih fokus pada bidang lakonan.

MENYUKAI watak berat yang memerlukan penyampaian dalaman.
MENYUKAI watak berat yang memerlukan penyampaian dalaman.

"Pada awalnya saya berlakon ikut apa yang diterangkan semasa di lokasi penggambaran. Tak dinafikan sebenarnya agak sukar kerana saya memang kurang pengalaman berlakon sebelum ini," katanya.

Bagi memantapkan lakonannya, Husna mengambil keputusan mengikuti kelas lakonan anjuran pelakon dan pengarah Zul Huzaimy untuk belajar asas lakonan.

"Alhamdulillah ia banyak membantu dan sekarang saya berlakon ikut yang diajar dan ditambah baik dengan pengalaman yang saya dapat sepanjang berlakon.

"Saya akui pada awalnya agak sukar dikenali dalam bidang lakonan kerana status saya sudah berkahwin dan masuk bidang ini juga sudah lewat iaitu pada usia 29 tahun.

"Peluang yang diberikan saya gunakan sebaik mungkin dan dari situ penerbit dan pengarah boleh nampak komitmen saya dalam kerja. Saya tak menyasarkan populariti tapi saya nak orang lihat saya dengan bakat lakonan saya," katanya.

Tuah dan rezeki sentiasa menyebelahinya apabila ditawarkan watak utama dalam drama 26 episod berjudul Mencari Kiblat Cinta yang kini menemui penonton menerusi saluran TV Okey.

"Ini adalah drama pertama saya memegang watak utama dalam drama bersiri 26 episod. Saya rasa gementar semasa mesyuarat pertama untuk penerangan mengenai watak Danira.

HUSNA masih lagi aktif dalam bidang peragaan dan iklan komersial.
HUSNA masih lagi aktif dalam bidang peragaan dan iklan komersial.

"Sebelum ini saya hanya pernah pegang watak utama untuk telefilem sahaja. Saya bertanya kepada diri sendiri bolehkah saya buat? Tapi perasaan teruja itu lebih banyak, jadi saya buat keputusan untuk terima dan sekali gus mencabar diri," katanya.

Husna berkata, dia lega bercampur gembira apabila peminat memberikan komen positif terhadap lakonannya.

"Sepanjang proses penggambaran saya agak risau tak dapat memenuhi kehendak atau membawa watak dengan baik ataupun 'terbabas'.

"Dengan bantuan penerbit, Darling Ngasri, pengarah, Jo Yusof, kru dan semua pelakon, saya berjaya berikan lakonan yang baik.

"Bagaimanapun masih terlalu awal untuk saya berpuas hati kerana banyak lagi yang saya perlu belajar dan perbaiki untuk memberikan hasil yang lebih baik," katanya yang turut mengakui Danira adalah salah satu watak yang diidamkannya.

Selain dua drama ini, Husna juga pernah tampil dalam beberapa drama lain dan terbaharu Hati Yang Tersakiti yang ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3 Oktober lalu.

"Semestinya saya akan cuba yang terbaik bila dapat sesuatu watak. Insya-Allah apabila pandemik Covid-19 tamat, saya akan masuk kelas lakonan lagi.

"Mulanya nak mencuba tapi sekarang saya dah serius berlakon. Bila serius saya akan buat betul-betul dan bagi komitmen sepenuhnya untuk berjaya.

"Saya sukakan watak mencabar kerana watak begini perlukan penyampaian secara dalaman. Malah drama terbaharu saya yang sudah selesai penggambaran juga mencabar kerana berkaitan kemurungan sehingga saya terkesan," katanya.

Ibu kepada dua anak ini juga tiada masalah membawakan watak bercinta namun dalam masa sama mengakui perlu mempunyai batas-batas yang perlu dijaga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:50 AM