DARLING. FOTO Arkib NSTP
DARLING. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

 

LARANGAN berkongsi peralatan mekap di lokasi penggambaran bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bukanlah perkara membebankan.

Penerbit dan pelakon, Darling Ngasri berkata, syarat-syarat yang dikenakan itu tidak susah untuk diikuti semua penerbit drama.

"Selama ini pun jurusolek memang sediakan peralatan mekap yang berbeza untuk setiap artis. Ada segelintir artis memang gunakan mekap sendiri dan ia bukan perkara asing dalam produksi drama atau filem.

"Alhamdulillah, kerajaan dah bagi bekerja. Kalau tengok, sektor lain pun semuanya dah kerja. Tiada masalah pun asalkan pantau dan jaga diri masing-masing," katanya.

Syarikat produksi miliknya iaitu NS Star Sdn Bhd akan kembali memulakan penggambaran drama 26 episod berjudul Mencari Kiblat Cinta untuk tayangan TV Okey RTM pada 10 Jun ini.

Sementara itu, pelakon Isyariana pula bersetuju dengan SOP ditetapkan yang bertujuan menjaga keselamatan semua pihak.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sudah mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan di mana kita sudah terbiasa dengan sanitizer, face mask dan benda yang boleh mencegah kita dari segala virus bukan saja Covid-19.

"Jadi, sebelum mulakan penggambaran, saya akan solek diri sendiri kerana rasa yakin dan selamat dengan peralatan solekan sendiri. Manakala, jurusolek yang ada pula membantu beri panduan untuk watak yang dikehendaki. Itu lebih meyakinkan saya," katanya.

Pelakon, Ieda Moin berkata, kebiasaannya dia melihat jurusolek mementingkan kebersihan ketika bekerja.

"Kalau boleh, peralatan solekan  dibawa sendiri oleh artis. Bukan satu kesalahan kerana ia untuk kebersihan dan keselamatan sendiri. Jadi kita dapat bekerja dalam keadaan mengikut SOP," katanya.

Menurutnya, dia akan memulakan penggambaran untuk drama berkonsep sketch komedi terbitan Opy Global pada 12 Jun ini. Seterusnya dia akan kembali menyambung penggambaran Opocot Raya sehingga Julai ini.

Pelakon Zara Zya pula berkata, dia sememangnya akan bersolek sendiri setiapkali berlakon.

"Sekiranya jurusolek nak buat 'touch up' pun, dia akan gunakan peralatan saya sendiri. Memang dari dulu dah diamalkan dan SOP ini bukan isu besar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 8:47 AM