Kru memakai penutup hidung dan mulut setiap masa di lokasi penggambaran.
Kru memakai penutup hidung dan mulut setiap masa di lokasi penggambaran.
Georgie Joseph


PENERBIT Darling Ngasri yang memulakan penggambaran drama berjudul Mencari Kiblat Cinta di Shah Alam semalam dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selain mementingkan aspek kebersihan termasuk membeli sendiri mesin untuk operasi nyah cemar.

Darling yang juga pemilik syarikat produksi NS Star Sdn Bhd berkata, pihaknya juga meminta kakitangan bahagian props untuk datang lebih awal ke lokasi untuk proses sanitasi semua peralatan yang akan digunakan. Proses itu juga akan dilakukan lagi jika peralatan itu mahu digunakan semula.

"Pada mulanya kami menggunakan penyembur disinfeksi dan tisu pengelap. Namun, kurang yakin pula dengan keberkesanannya sehingga akhirnya memutuskan untuk beli saja mesin nyah cemar itu," katanya kepada Harian Metro.

Untuk hidangan makanan, pihaknya tidak menggunakan konsep bufet seperti kebiasaan, sebaliknya meminta setiap kru dan artis membawa peralatan makan sendiri termasuk sudu dan garfu.

"Setakat ini semuanya okay. Cuma, jumlah pelakon untuk setiap babak kami kurangkan manakala babak yang tak perlu, kami buang terus.

"Begitu juga dengan kru yang terbabit, kami sangat minimakan jumlahnya serta asingkan kru belakang dan depan tabir. Setiap orang di lokasi turut diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa kecuali pelakon di depan kamera.

"Sebenarnya, tiada masalah besar pun dan tak rasa beza sangat selain kena sentiasa beringat untuk jaga keselamatan. Apapun, kami akan pastikan suhu badan serta nama setiap yang hadir direkod sebelum mulakan penggambaran," katanya.

Terdahulu, penggiat industri perfileman menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan membenarkan meneruskan aktiviti penggambaran bermula semalam mengikut SOP ditetapkan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 7:22 AM