Nor Amalina Alias


SEORANG warga emas meninggal dunia dipercayai ditikam peragut di Kampung Tok Kamis, di Pasir Puteh, petang semalam.

Lebih menyedihkan, kejadian menimpa Azizah Mohamed, 82, disedari ahli keluarga, jam 6.10 petang, sejam sebelum waktu berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketika kejadian, anak dan menantu wanita itu, Nasaruddin Adam, 43 dan Musliza Mohamad, 43, keluar membeli lauk untuk juadah berbuka.

Beliau berkata, mangsa berada di rumah bersama seorang lagi anaknya, Yusliza Adam, 40, yang juga orang kurang upaya (OKU).

"Sebaik tiba di rumah, mereka terkejut apabila menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring di tepi tangga dan mengerang kesakitan akibat ditikam," katanya ketika dihubungi.

Mohd Azmir berkata, ahli keluarga membawa mangsa mendapatkan rawatan kecemasan di hospital, namun warga emas meninggal dunia jam 8 malam.

Katanya, hasil siasatan awal, mangsa mengalami kecederaan luka di kening bahagian kanan dan dua tikaman di bahagian dada sebelah kiri dipercayai menggunakan objek tajam.

"Polis percaya mangsa diragut sebelum ditikam berdasarkan barang yang hilang pada tubuh si mati adalah seutas rantai leher yang biasa dipakainya.

"Kita sedang mengesan suspek yang berkemungkinan lebih daripada seorang," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, adik mangsa, Selma Mohamad, 60, berkata, dia mengetahui kejadian malang menimpa kakak sulungnya itu pada 9.30 malam.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa kakaknya sehari sebelum puasa apabila mangsa membawa ubi ke rumahnya di Kampung Kandis.

"Walaupun sudah berusia lanjut, namun kakak masih sihat, malah sering menjadi guru al-Quran kepada cucu dan ahli keluarga, jadi saya terkejut apabila dimaklum kakak meninggal kena tikam peragut," katanya yang memberitahu arwah juga ibu tunggal yang sudah kematian suami sejak 20 tahun lalu.

Selma berkata, ahli keluarga berharap pelaku dapat ditangkap segera dan dikenakan hukuman setimpal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 8:14 AM
Anggota forensik sedang melakukan siasatan di rumah Azizah Mohamed yang ditemui terbaring di tangga akibat ditikam peragut di Kampung Tok Kamis, Pasir Puteh. FOTO NOR AMALINA ALIAS.
Anggota forensik sedang melakukan siasatan di rumah Azizah Mohamed yang ditemui terbaring di tangga akibat ditikam peragut di Kampung Tok Kamis, Pasir Puteh. FOTO NOR AMALINA ALIAS.