Muhammad Saupi (berdiri dua dari kiri) korban pendapatannya bagi perbelanjaan empat adik beradik dan empat anak saudara yatim piatu. FOTO RAMLI IBRAHIM
Muhammad Saupi (berdiri dua dari kiri) korban pendapatannya bagi perbelanjaan empat adik beradik dan empat anak saudara yatim piatu. FOTO RAMLI IBRAHIM
Oleh Ramli Ibrahim


Gua Musang: Dialah ibu dan dialah bapa, itulah pengorbanan seorang abang untuk menyara lima adik dan empat anak saudara di Kampung Tanah Puteh, dekat sini.

Muhammad Saupi Mat Adam, 29, sudah kehilangan ibu bapa dan juga kakaknya yang juga ibu kepada empat anak saudaranya itu.

Menurutnya, persiapan Aidilfitri kali ini menyedihkan kerana ibunya baharu sahaja meninggal dunia akibat penyakit kronik 10 hari lalu.

"Bapa sudah meninggal lima tahun lalu akibat kemalangan jalan raya manakala kakak meninggal dua tahun lalu lalu akibat pelbagai penyakit kronik dan meninggalkan empat anaknya.

"Kini mereka menjadi tanggungjawab saya. Kemeriahan sambutan 1 Syawal ini terpaksa dilupakan kerana kami tidak mampu membuat sebarang persiapan dan hanya secara ala kadar memandangkan kini dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan daging lembu.

Katanya, dengan tanggungjawab ini dia akan berbelanja secara jimat cermat memandangkan perbelanjaan persekolahan adik dan anak buanya adalah lebih penting.

Terdahulu, Persatuan Cakna Kasih Gua Musang hadir membantu menyediakan kelengkapan rumah dan turut bergotong membersihkan kawasan rumah.

Muhammad Saupi berkata dia bersyukur kerana ramai membantunya termasuk wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Agrobank 2006731000134380 milik Muhammad Saupi atau menghubunginya di talian 017-9200617.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 3:26 PM