MANGSA (tengah) terkena tembakan rakan sendiri. FOTO IHSAN PEMBACA
MANGSA (tengah) terkena tembakan rakan sendiri. FOTO IHSAN PEMBACA
Nor Amalina Alias


SEORANG pesara tentera maut dipercayai terkena tembakan ketika berburu bersama rakannya dalam kejadian di sebuah bukit di Kampung Gong Genur, di Pasir Puteh, malam tadi.

Lelaki berusia 69 tahun itu dipercayai tertembak mangsa, Mohd Sazuki Shafeii, 48, yang disangkakan binatang dalam kejadian 7.50 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan, Mohd Azmir Damiri berkata, rakannya tertembak mangsa dengan senapang patah dari jarak 200 meter.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.50 malam apabila rakan mangsa sendiri menghubungi polis memaklumkan kejadian yang berlaku.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terkena sebutir peluru tepat di bahagian dada yang menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Anis, di pasir Puteh.

Mohd Azmir berkata, rakan mangsa dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke tempat yang disangka binatang namun terkejut apabila mendapati yang ditembak adalah Sazuki.

Katanya, lelaki itu ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara itu, isteri mangsa, Nik Intan Musnita Nik Mustapha, 44, berkata, arwah suaminya keluar rumah untuk berburu bersama rakannnya, pada 2 petang.

Namun katanya, dia tidak sempat melihat suaminya buat kali terakhir kerana sedang solat dan hanya dimaklumkan anaknya yang suaminya keluar berburu.

“Anak beritahu abah (Sazuki) dah tubik (keluar), kami tidak tahu kejadian yang menimpa suami hinggalah malam tadi ahli keluarga beritahu selepas dimaklumkan polis,” katanya yang kelihatan lemah.

Nik Intan berkata, dia dan arwah mempunyai empat anak berusia lima hingga 19 tahun dan arwah sudah beberapa kali ke bukit itu untuk berburu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 9:49 AM