Nor Amalina

MAYAT lelaki yang ditemui terapung dengan kesan terbakar di Sungai Kampung Puyu, Jalan Semerak, Pasir Puteh, Rabu lalu disahkan mati dibunuh.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa berusia 20-an itu mempunyai kesan pukul dengan objek tumpul di muka dan badan.

Selain itu katanya, mayat mempunyai kesan luka dan terbakar 30 peratus dengan tempoh kematian dianggarkan 48 jam sebelum ditemui.

“Bedah siasat dijalankan pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, semalam dan dipercayai mangsa dibunuh di tempat lain dengan mayatnya dicampak di dalam sungai itu.

“Namun tiada senjata ditemui di lokasi mayat dijumpai dan mangsa sudah dituntut keluarga yang membuat pengecaman berdasarkan pakaiannya. Mangsa berasal dari Terengganu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azmir berkata, siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan suspek terbabit kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh,” katanya.

Berita berkaitan

Mayat terapung dengan kesan terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 2:58 PM