ALYA mahu peminat menilainya kerana bakat sendiri
ALYA mahu peminat menilainya kerana bakat sendiri
Ridzuan Abdul Rahman


TIDAK pernah menyangka akan bergelar pelakon. Itu kenyataan jujur si cantik manis Alya Iman.

Anak kepada pelakon terkenal Allahyarham Azmil Mustapha ini mengakui, pada mulanya dia tidak pernah terfikir untuk mengikut jejak bapanya sebagai pelakon.

“Tak sangka pun jadi pelakon dan tak terfikir sebelum ini. Apabila berada di lokasi penggambaran, baru minat itu timbul. Waktu babah masih ada, dia tak pernah bawa saya ke lokasi kerana ketika saya lahir, dia sudah berhijrah dan tak berlakon lagi.

“Namun babah pernah berpesan, kalau nak jadi pelakon kena ada kemampuan diri. Jangan paksa diri berlakon kalau tak boleh buat. Berikan yang terbaik,” katanya.

Alya, 19, terlebih dahulu memulakan kariernya sebagai model peragaan pada usia 13 tahun.

“Saya aktif sebagai model dan seorang yang berdikari. Babah pula izinkan saya berlakon, tapi syaratnya saya perlu habiskan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) terlebih dahulu. Tapi, saya sebaliknya terbabit dengan penggambaran drama sulung ketika menduduki SPM pada 2018.

“Saya dapat panggilan daripada syarikat produksi tawarkan berlakon. Memang mulanya saya agak terkedu kerana tak pandai berlakon,” katanya.

Menurutnya, syarikat produksi terbabit menjelaskan mereka mengambilnya kerana percayakan darah seni yang diwarisi daripada bapanya.

ANTARA babak lakonan Alya dalam drama Bukan Kahwin Paksa.
ANTARA babak lakonan Alya dalam drama Bukan Kahwin Paksa.

“Saya tak perlu pergi uji bakat dan terus disuruh masuk set drama Senafas Rindu. Bermula dari situ, saya belajar banyak ilmu lakonan dan seterusnya ditawarkan berlakon drama dan telefilem.

“Terbaru drama lakonan saya, Bukan Kahwin Paksa yang baru tamat tayangan di TV3 turut memberi impak positif terhadap karier baru saya,” katanya.

Mengakui orang mengenalinya sebagai anak Azmil Mustapha, namun Alya mahu peminat menilainya kerana bakat sendiri.

“Kalau boleh saya nak berdikari dan naik dengan bakat sendiri. Saya nak buat sesuatu atau berlakon sehingga orang ingat saya. Malah, saya sanggup belajar dari bawah sehingga mampu jadi pelakon terbaik pada masa depan.

“Buat masa ini, saya belum ada perancangan untuk sambung belajar kerana benar-benar serius nak berlakon. Dalam masa sama, saya juga fokus buat perniagaan,” katanya.

Pencapaian Alya agak membanggakan kerana sudah membintangi banyak drama dalam tempoh lebih setahun bergelar pelakon.

“Saya sudah berlakon tiga drama iaitu Senafas Rindu, Bukan Kahwin Paksa dan Dilema Wanita serta tiga telefilem iaitu Senafas Rindu Raya, Lelaki Kelas Sebelah dan Tebus.

“Harapnya saya akan diberi peluang untuk terus berlakon pada masa depan dengan watak lain dan kalau boleh berpeluang berlakon filem pula. Impian saya nak jadi terkenal sebagaimana orang ingat Babah sebagai Ali Setan,” katanya.

MAHU jadi pelakon terbaik.
MAHU jadi pelakon terbaik.

Ditanya kekangan yang dihadapi untuk berlakon dengan imejnya, Alya berkata, ia bukan masalah besar. “Saya tak kisah sebenarnya. Batasannya ialah sentuhan berlebihan, pelukan dan babak keterlaluan. Dari segi pembawakan watak, saya masih boleh bawa watak antagonis. Kalau orang kecam bermakna lakonan saya berjaya.

“Saya juga tak tetapkan watak kerana teringin nak pelbagaikan watak. Tapi, ada juga terfikir nak bawa watak thriller sekiranya diberikan peluang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:00 AM