AEDY pertama kali berlakon dalam Slot Akasia di TV3.
AEDY pertama kali berlakon dalam Slot Akasia di TV3.
Sudirman Mohd Tahir


NAMA pelakon Aedy Ashraf, 28, tidak perlu diperkenalkan lagi.

Jika dihitung dia sudah 20 tahun terbabit dalam bidang lakonan sejak kanak-kanak lagi.

Membesar sebagai anak seni sudah cukup mematangkan dirinya terutama sepak terajang dan permainan dunia hiburan tempatan.

Bagaimanapun, itu tidak menjadikan Aedy atau nama sebenarnya Mohammed Zaedy Ashraf Rosmadi mengalah.

Sebaliknya, bidang lakonan sudah menjadi sebahagian darah dagingnya. Cintanya terhadap lakonan juga tidak pernah hilang.

Mungkin perkara yang membuatkan Aedy berbeza daripada kebanyakan pelakon lain adalah dia bukan seorang yang terlalu memilih dari segi kemunculannya di kaca TV.

Malah jauh sekali untuk menetapkan perlu berlakon di slot tertentu saja.

Bagi Aedy yang kini terbabit dalam penggambaran drama Kisah Cinta Kita terbitan A Aida Productions Sdn Bhd untuk tayangan Slot Akasia di TV3 berkata, apa yang menjadi keutamaannya adalah mesej, jalan cerita dan watak dilakonkan itu perlulah memberi kesan pada penonton. Itu lebih memberi kepuasan.

"Ini pertama kali saya melakonkan watak hero di Slot Akasia. Bagi saya semua kerja dan tawaran yang dapat, saya anggap satu tanggungjawab besar. Tidak ada istilah dapat Slot Akasia kena buat lebih bagus, slot lain buat kurang atau biasa-biasa saja. Tapi setiap tawaran kerja saya dapat ia adalah tanggungjawab.

"Malah tidak wujud sebarang perbezaan pun. Saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk berlakon dalam mana-mana slot. Saya okay mana-mana pun, asal saja perkara itu dapat memberikan kesan baik kepada masyarakat dari segi mesej yang cuba disampaikan menerusi jalan cerita dan watak dilakonkan. Bagi saya itu sudah okay," katanya.

Dalam masa sama, Aedy juga sentiasa percaya pada rezeki Allah SWT, baik dari segi populariti mahu pun penetapan jumlah pengikut atau 'followers' di laman sosial Instagram. Aedy percaya jika dia berkelayakan dengan watak itu dan memang sudah rezeki, dia terima dengan tanda syukur.

Seperti mana isu yang timbul baru-baru ini membabitkan jumlah 'followers', Aedy berkata dia masih mendapat tawaran berlakon biarpun mempunyai 800,000 pengikut di Instagram.

"Ini isu berat untuk saya ulas sebab saya sendiri tidak ada 'followers' berjuta. Walaupun saya berlakon boleh dikatakan sudah 20 tahun, tapi masih tidak ada 'followers' berjuta, tapi alhamdulillah saya masih berlakon dan ada tawaran. Maksudnya masih ada orang nak tengok saya di kaca TV.

"Mungkin betul apa yang mereka katakan di Malaysia ini bakat tak seiring dengan populariti. Dan saya nampak perkara ini, yang mana banyak saja pelakon di Malaysia yang bagus tapi tak diberikan peluang hanya kerana mereka tidak ada 'followers'. Saya lebih suka kualiti daripada kuantiti dalam apa yang saya buat.

ANTARA babak dalam drama Kisah Cinta Kita.
ANTARA babak dalam drama Kisah Cinta Kita.

"Setakat ini saya belum pernah lagi berdepan situasi ini. Tapi kalau tak dapat disebabkan tak cukup bagus, biasalah, saya terima saja perkara itu. Kalau saya diletakkan pada situasi itu, saya berbalik pada rezeki, saya akan cakap pada diri ia bukan rezeki saya, ia bermakna kalau saya tak dipilih disebabkan populariti mungkin produksi itu lebih pentingkan populariti daripada bakat. Bagi saya tak perlu ada rasa iri hati atau cuba menjadi popular tanpa sebab semata-mana nak dapatkan satu tawaran kerja," katanya.

Cabaran dalam Kisah Cinta Kita

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama Kisah Cinta Kita, Aedy berkata, dia bertuah apabila dapat bekerjasama sekali lagi dengan pengarah Riza Baharuddin selain bergandingan pertama kali dengan pelakon, Amelia Henderson.

"Saya sudah selesa dan kami ada keserasian bekerjasama sebab saya pernah terbabit dalam penggambaran drama bersiri panjang di bawah arahannya. Saya suka cara dia bekerja yang mana ada banyak idea. Dia boleh kaitkan dengan situasi babak golongan remaja dengan sekarang.

"Dalam drama ini, watak saya adalah orang muda, menjadi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) muda dan kahwin muda. Jadi, banyak babak yang memang masuk akal dan boleh diterima. Kadang-kadang ada penulisan tak logik untuk seorang remaja dari segi babak, tapi abang Riza dapat buatkan ia menjadi relevan untuk orang tengok.

"Berlakon dengan Amelia pula memberikan satu pengalaman yang bagus. Walaupun ini gandingan pertama kami sebagai hero dan heroin, tapi kami mudah mendapat keserasian. Jadi, penggambaran berlangsung dengan baik. Lagi pun dia juga sudah ada banyak pengalaman dalam bidang ini," katanya.

Mengenai cabaran pula, dia terpaksa mencari dan mendapatkan semula 'mood' dan 'feel' watak dilakonkan selepas lebih tiga bulan penggambaran dihentikan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Ada banyak cabaran dalam cerita ini yang perlu dilalui. Antara yang saya rasa, ini siri pertama saya melakonkan watak suami sebab tak kahwin lagi. Kita berlakon ini kena gunakan imaginasi, jadi saya kena bayangkan macam mana kalau saya sudah kahwin nanti dan kena buat semua ini. Bagi saya susah sebab tidak pernah lagi ada pengalaman itu. Jadi ini antara cabaran menjadi suami dalam cerita.

"Selain itu cabaran ketika PKP yang mana terpaksa berhenti penggambaran dalam tiga bulan. Terlalu lama berhenti, jadi nak kena kembali pada watak, nak kena cari semula 'mood' dan keserasian dengan pelakon lain. Apabila dapat mulakan penggambaran, agak berat nak dapatkan semula watak dan kena baca semula dari awal sampai habis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:00 AM