MOHD Izzuddin yang menghidap kanser limfoma gigih menyiapkan tempahan tag nama tulisan khat dari katil hospital.
MOHD Izzuddin yang menghidap kanser limfoma gigih menyiapkan tempahan tag nama tulisan khat dari katil hospital.
Amirul Haswendy Ashari.


“ALHAMDULILLAH, sambutan memang menggalakkan dan saya terpaksa tutup tempahan sementara untuk mengemas kini tempahan sedia ada,” kata Suzana Muhamad Tab.

Suzana, 34, adalah isteri kepada Mohd Izzuddin Zainal, 33, penghidap penyakit kanser limfoma yang mengambil tempahan tag nama tulisan khat dari katil hospital dan kisahnya dilaporkan Harian Metro pada 2 November lalu.

“Sebelum ini, suami hanya menggunakan pen dan kertas untuk mencatat tempahan masuk yang akhirnya membuatkan urusan sedikit bercelaru.

“Kami perlu ambil masa dengan terpaksa berhenti mengambil tempatan buat sementara waktu sejak semalam dan hanya akan membuka semula tempahan pada 10 November ini,” katanya.

Suzana berkata, dia berharap dapat membuat senarai tempahan dengan lebih teratur dan tersusun dalam tempoh ini.

Dalam pada itu, katanya, suaminya sangat bersyukur kerana mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat selepas kisahnya tular dan dilaporkan Harian Metro.

“Semakin hari, saya nampak suami semakin bersemangat dan meluahkan perasaan gembira kerana dapat melakukan sesuatu untuk pendapatan keluarga.

“Alhamdulillah, kesihatannya semakin baik. Malah suami sedang berlatih untuk mengurangkan kebergantungan kepada tangki oksigen secara sedikit demi sedikit," katanya.

Suzana berkata, suaminya kelihatan sangat tenang ketika menyiapkan tempahan, malah tahap oksigen suami bertambah baik tanpa sedar.

Katanya, perkembangan itu membuatkan ada jururawat terkejut kerana beranggapan mesin tidak berfungsi kerana tiada bunyi terhasil.

“Saya berpendapat kemungkinan ketenangan itu diperolehi suami kerana tumpuannya sering menghalusi tulisan jawi.

“Suami selalu berpegang kepada tagline ‘jawi jiwakan namamu'. Mungkin sebab itulah dia kelihatan sangat tenang apabila menyiapkan tempahan,” kata ibu kepada dua anak itu.

Pada masa ini, Mohd Izzuddin yang juga seorang guru sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras.

Berita berkaitan

'Cantiknya tulisan khat hasil tangan Cikgu Izzuddin'

'Reda ujian ilahi'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 9:15 PM