SUZANA Zubir, 32, (kiri) yang masih berpantang berkesempatan mengambil segulung Diploma Kejuruteraan Elektrik ketika meraikan hari bersejarah bersama anak keempat yang Helena Zahra Hussin yang berusia 29 hari didukung suaminya Hussin Jaapar, 35, (kanan) pada majlis Istiadat Konvokesyen ke-17 Politeknik Merlimau di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau. FOTO Rasul Azli Samad
SUZANA Zubir, 32, (kiri) yang masih berpantang berkesempatan mengambil segulung Diploma Kejuruteraan Elektrik ketika meraikan hari bersejarah bersama anak keempat yang Helena Zahra Hussin yang berusia 29 hari didukung suaminya Hussin Jaapar, 35, (kanan) pada majlis Istiadat Konvokesyen ke-17 Politeknik Merlimau di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau. FOTO Rasul Azli Samad
Nurul Fhatihah Zakinan


IBU yang baru 29 hari melahirkan anak, enggan terlepas peluang menaiki pentas, menggenggam diploma pada Majlis Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka (PMM) ke-17 di Jasin, hari ini.

Suzana Zubir, 32, antara 1,547 graduan yang menerima diploma pada sesi pertama konvokesyen yang disampaikan Ketua Menteri Adly Zahari.

Hadir sama Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Zainab Ahmad.

Suzana berkata, meskipun menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada empat anak termasuk yang baru berusia 29 hari hingga tujuh tahun, semangat dan azam tinggi mendorongnya menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Teknikal di PMM.

Graduan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 3.45 itu berkata, niat dan kesungguhannya mendapat sokongan padu daripada suami, Hussin Jaapar, 35.

Keazamannya juga timbul demi membantu ibu bapa kerana bukan berasal dari keluarga berada.

“Walaupun berpantang, saya fikir ini (naik ke pentas genggam diploma pada majlis konvokesyen) sekali seumur hidup, jadi saya minta izin suami dan dia benarkan,” katanya ditemani suami dan bayi perempuan yang baru lahir, Helena Zahra.

Menurutnya, tempoh tiga tahun pengajian secara sambilan pada Sabtu dan Ahad digunakan sebaik mungkin, malah dia dan suami yang bekerja di bahagian kawalan kualiti di kilang di sini, bergilir-gilir menjaga ketiga-tiga anak mereka sebelum melahirkan anak keempat.

Sementara itu, Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Sesi Disember 2016, Mohammad Ezahar Jumat, 22, berkata, dia tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang dengan CGPA 3.90 walaupun tidak meminati jurusan perakaunan pada awalnya.

“Pada mulanya saya rasa mencabar, namun selepas beberapa ketika ia mudah bagi saya,” katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.

Dalam perkembangan lain, Zainab berkata, pihaknya menyasarkan 60 peratus graduan politeknik dan kolej komuniti (KK) menyumbang dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mengikut Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Lazimnya, graduan politeknik menyumbang lebih 40 peratus dalam bidang ini, dan sembilan peratus dari KK. Kita memang bekalkan graduan dengan sasaran 60 peratus graduan TVET keluar bekerja menerusi RMK11,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 4:10 PM