Muhammad Haikal Nashriq (tiga dari kanan) bersama adiknya, Qaseh Al-Qausar (dua dari kanan), Muhammad Harraz Nashriq (dua dari kiri), Muhammad Azrin Nashriq (kanan), Qaseh Nurqisya Irdani (dua dari kiri) serta Qaseh Irdani Qaisara Kamarul Sharizam. FOTO Adzlan Sidek
Muhammad Haikal Nashriq (tiga dari kanan) bersama adiknya, Qaseh Al-Qausar (dua dari kanan), Muhammad Harraz Nashriq (dua dari kiri), Muhammad Azrin Nashriq (kanan), Qaseh Nurqisya Irdani (dua dari kiri) serta Qaseh Irdani Qaisara Kamarul Sharizam. FOTO Adzlan Sidek
Hasbi Sidek dan Mohd Khidir Zakaria


“AYAH selalu bawa kami jalan-jalan tapi sekarang sudah tiada orang bawa kami,” kata Muhammad Haikal Nashriq, 13, anak sulung Kamarul Sharizam Kamarudin, 40, yang meninggal dunia selepas pulang menunaikan umrah semalam.

Allahyarham Kamarul Sharizam yang juga bapa tunggal sebelum ini buntu memikirkan masa depan enam anaknya selepas menghidap pelbagai penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, asma dan batu karang.

Muhammad Haikal Nashriq berkata, sejak ibu dan bapanya berpisah, bapanya sendirian menguruskan adik-beradiknya yang berusia dari dua hingga 11 tahun.

“Ketika ayah ada, dia jaga kami dan kami jaga ayah kerana dia sakit.

“Saya dan dua lagi adik lelaki yang berusia sembilan serta 11 tahun membantu ayah menguruskan tiga adik perempuan berusia dua, empat dan tujuh tahun.

“Ayah sering tunaikan permintaan kami seperti membawa kami berjalan-jalan dan membelikan permainan namun kini ayah sudah tiada,” katanya ketika ditemui hari ini.

Arwah Kamarul Sharizam (duduk di kerusi roda) sejurus tiba di KLIA sekembalinya daripada mengerjakan umrah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Arwah Kamarul Sharizam (duduk di kerusi roda) sejurus tiba di KLIA sekembalinya daripada mengerjakan umrah. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Kamarul Sharizam meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas pulang menunaikan umrah 5.05 petang semalam sebaik tiba di hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan akibat mengadu tidak sihat.

Sementara itu, Kamarul Shahril Kamarudin, 35, adik kepada Kamarul Sharizam berkata, dia bertanggungjawab terhadap enam anak yatim itu dan sudah membuat perancangan jangka pendek untuk mereka.

“Muhammad Haikal Nashriq yang mengalami masalah autisme akan menetap bersama adik saya, Norul Arshada Kamarudin, 29, di Seremban memandangkan rumahnya berdekatan sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.

“Muhammad Harraz Nashriq, 11, dan Muhammad Azrin Nashriq, 9, ditempatkan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina yang diuruskan adik saya, Mohamad Zatullah Kamarudin, 27.

“Qaseh Nurqisha Irdani, 4, dan Qaseh Irdanu Qaisara, 7, akan dijaga sepupu saya manakala Qaseh Al-Qausar, 2, kini dijaga seorang ustaz yang sedang melengkapkan proses untuk mengambilnya sebagai anak angkat.

“Apa yang paling penting adalah mereka semua berada di sekitar pengawasan saya dan adik-beradik lain. Mereka semua kini menjadi tanggungjawab kami,” katanya.

Sementara itu Mohamad Zatullah, 27, berkata, dia menjemput arwah yang baru pulang menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 petang semalam.

“Ketika itu abang sudah kelihatan tidak sihat lalu saya terus bawanya ke HTJS untuk rawatan.

“Sebaik tiba di hospital, saya pimpin abang dan meletakkannya di kerusi roda.

“Namun abang tiba-tiba rebah dan pegawai perubatan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum dia disahkan meninggal dunia,” katanya.

Mohd Zatullah yang juga pengasas Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina berkata, arwah abangnya menerima tajaan menunaikan umrah itu dan dia ke Tanah Suci bersama seorang rakan.

“Arwah gembira apabila dapat menunaikan umrah dan sepanjang arwah di sana, saya mengambil tanggungjawab menjaga enam anaknya.

“Saya tak sangka dia ‘pergi’ selepas tiga jam pulang ke tanah air,” katanya.

Menurutnya, jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, 11 pagi tadi.

Harian Metro 19 Ogos lalu melaporkan bapa tunggal buntu memikirkan masa depan enam anaknya selepas menghadapi masalah kesihatan yang menyebabkan dia tidak mampu bekerja.

Kamarul Sharizam Kamarudin perlu membesarkan semua anaknya yang berusia dua hingga 13 tahun di rumahnya di Taman Politeknik, Port Dickson, selepas bercerai dua tahun lalu.

Berita berkaitan

Serah 4 anak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 10:40 PM